Pemantauan digital masih wajib untuk lindungi remaja bawah 16 tahun

Pemantauan digital masih wajib untuk lindungi remaja bawah 16 tahun


Kuala Lumpur: Dalam era digital ini, gajet sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan remaja.

Bagi mereka yang berusia 16 tahun, telefon pintar, tablet dan komputer riba bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga teman belajar, hiburan dan media sosial.

Dengan hanya satu sentuhan, dunia seakan berada di hujung jari mereka, dari menonton video trending, membaca berita terkini, hingga berinteraksi dengan rakan-rakan di platform popular.

Namun, di sebalik kemudahan ini, pakar menzahirkan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang penggunaan gajet yang berlebihan.

Masa skrin yang terlalu lama, selain boleh menjejaskan kesihatan fizikal seperti masalah penglihatan dan postur badan, turut memberi impak mental.

Lebih membimbangkan, dunia maya turut menyembunyikan cabaran sosial dan keselamatan.

Pendedahan kepada kandungan tidak sesuai, buli siber, serta tekanan untuk mengekalkan imej ‘sempurna’ di media sosial boleh memberi kesan emosi yang serius.

Pakar Perunding Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah Universiti Putra Malaysia, Dr Rahima Dahlan@Mohd Shafie.

Pakar Perunding Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah Universiti Putra Malaysia, Dr Rahima Dahlan@Mohd Shafie, berkata golongan berusia bawah 16 tahun antara kumpulan yang lebih berisiko dalam talian kerana mereka sedang melalui fasa perkembangan emosi, sosial dan identiti diri.

Beliau berkata, walaupun golongan ini dilihat mahir menggunakan teknologi dan media sosial, kemahiran teknikal itu tidak semestinya seiring dengan kematangan emosi serta keupayaan menilai risiko. 

“Pada usia ini, remaja sedang melalui proses memahami identiti diri dan sangat dipengaruhi oleh penerimaan rakan sebaya. 

“Media sosial menjadi ruang untuk mendapatkan pengiktirafan melalui tanda suka dan komen, yang boleh menyebabkan mereka lebih mudah terdedah kepada tekanan sosial, perbandingan diri dan kebergantungan kepada validasi luar.

“Walaupun nampak mahir menggunakan aplikasi atau peranti, mereka mungkin tidak sepenuhnya memahami implikasi berkongsi maklumat peribadi atau berinteraksi dengan individu yang hanya dikenali dalam talian,” katanya kepada BH. 

Beliau berkata, dari sudut perkembangan otak, struktur yang mengawal pertimbangan, kawalan diri dan penilaian risiko masih dalam proses perkembangan sehingga lewat usia remaja, menyebabkan golongan bawah 16 tahun lebih cenderung membuat keputusan secara impulsif dan dipengaruhi emosi.

Sehubungan itu, katanya, tetapan kawalan ibu bapa penting sebagai lapisan perlindungan awal, khususnya bagi kanak-kanak dan remaja bawah 16 tahun yang sudah mempunyai akses kepada internet dan media sosial. 

“Tetapan ini boleh membantu menapis kandungan, mengehadkan masa skrin dan mengawal aplikasi yang boleh diakses, sekali gus menjadi benteng pertama dalam melindungi kanak-kanak dalam talian. 

“Namun, kawalan ini hanyalah alat teknikal dan tidak boleh menggantikan peranan ibu bapa dalam memberi bimbingan, pendidikan dan pemantauan berterusan,” katanya. 

Dr Rahima berkata, antara risiko dalam talian yang membimbangkan termasuk buli siber, pendedahan kepada kandungan lucah atau ganas, eksploitasi dalam talian serta interaksi dengan individu yang menyamar atau berniat jahat.

Katanya, kesan pendedahan ini bukan sahaja bersifat sementara, malah boleh memberi impak jangka panjang terhadap kesihatan mental seperti kebimbangan, kemurungan, masalah harga diri dan gangguan tidur, terutama dalam kalangan remaja yang masih dalam fasa perkembangan emosi.

Beliau menegaskan, pemantauan aktif dan komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak adalah asas kepada keselamatan digital, khususnya bagi kanak-kanak dan remaja bawah 16 tahun yang masih memerlukan bimbingan dalam membuat keputusan di dunia digital. 

“Pendekatan yang disarankan ialah bimbingan berbanding kawalan mutlak. Ibu bapa boleh melibatkan anak dalam menetapkan peraturan penggunaan gajet supaya mereka berasa lebih bertanggungjawab.

“Pemantauan perlu dilakukan secara terbuka, bukan secara sembunyi yang boleh menjejaskan kepercayaan. Pada masa sama, ibu bapa perlu memastikan keseimbangan dengan aktiviti lain seperti sukan, interaksi sosial dan masa bersama keluarga,” katanya.

Beliau turut menyarankan, ibu bapa peka terhadap perubahan tingkah laku anak seperti menjadi murung, mudah marah, mengasingkan diri, merahsiakan penggunaan telefon atau perubahan corak tidur kerana ia mungkin petunjuk awal anak berdepan masalah berkaitan penggunaan digital.

Dr Rahima berkata, teknologi bukan sesuatu yang boleh dielakkan, namun ia perlu diurus dengan bijak dan memerlukan tanggungjawab bersama pelbagai pihak termasuk ibu bapa, sekolah, masyarakat dan platform digital. 

“Dalam dunia digital yang penuh cabaran, hubungan erat antara ibu bapa dan anak adalah perlindungan paling berkesan. Kawalan mungkin boleh menyekat, tetapi hubungan akan membimbing,” katanya. 

Bijak urus penggunaan

Sementara itu, berkongsi cara pemantauan dan pengenalan penggunaan gajet kepada anak, suri rumah, Nur Auni Aniqah Mohamed Shariff, 37, berkata anaknya mula menggunakan gajet seawal usia tiga hingga empat tahun.

Menurutnya, pengenalan gajet kepada anak itu adalah bertujuan, pembelajaran seperti video huruf dan nombor, selain sebagai cara menenangkan anak ketika beliau sibuk. 

“Memang ada masa saya bagi gajet untuk isi masa anak, terutama bila saya tengah buat kerja rumah atau urusan penting.

Tapi saya cuba hadkan, bukan bagi sepanjang masa,” kata ibu kepada empat anak itu.

Beliau berkata, kebimbangan terbesar ibu bapa adalah kemungkinan anak, sama ada yang masih kecil atau pun sudah memasuki alam remaja terdedah kepada kandungan tidak sesuai.

Lebih merisaukan, jika mereka berinteraksi dengan individu tidak dikenali di internet di luar pengetahuan ibu bapa atau orang dewasa.

“Sekarang ini macam-macam boleh berlaku di luar pemikiran kita. Sebab itu saya guna kawalan ibu bapa untuk tapis apa yang dia boleh tengok dan hadkan masa penggunaan,” katanya. 

Bagaimanapun, beliau mengakui kawalan ibu bapa bukan jaminan sepenuhnya dan pemantauan tetap perlu dilakukan. 

“Parental control memang membantu, tapi bukan 100 peratus. Kita masih kena pantau sebab budak sekarang cepat belajar, kadang-kadang dia lebih tahu daripada kita. Bagi remaja pula mungkin ada sifat memberontak jika ditegur atau dihalang,” katanya.

Nur Auni Aniqah juga kerap bertanya kepada anak mengenai apa yang ditonton dan dengan siapa anak berkomunikasi, selain menetapkan peraturan hanya menggunakan gajet di ruang tamu bagi memudahkan pemantauan.

Mengenai penggunaan gajet dalam kalangan remaja, beliau berkata, golongan usia itu mungkin sukar membezakan antara realiti dan dunia digital, sekali gus menjejaskan interaksi sosial secara langsung dengan keluarga dan rakan sebaya.

Akuinya, situasi itu juga menjadi kebimbangannya apabila anak menginjak usia remaja. 

“Meskipun gajet membawa pelbagai manfaat dari segi pendidikan, hiburan dan komunikasi, ibu bapa serta remaja perlu bijak menguruskan penggunaannya,” katanya. 

Hakikatnya, golongan remaja berusia bawah 16 tahun sememangnya masih belum matang untuk mengendalikan tekanan, perbandingan sosial, dan kandungan negatif yang sering terdapat di platform digital.

Justeru, usaha kerajaan untuk menutup akses media sosial kepada kanak-kanak bawah 16 tahun wajar diterima dengan baik kerana ia sebagai langkah melindungi perkembangan mental dan emosi mereka.

Dengan mengehadkan akses, golongan itu dapat membesar dalam persekitaran yang lebih sihat tanpa gangguan pengaruh luar yang tidak sesuai.

Selain itu, risiko mereka menjadi mangsa jenayah siber dapat dikurangkan.

Ini dilihat sebagai satu langkah pencegahan yang penting dalam memastikan keselamatan generasi muda di dunia digital yang semakin kompleks.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top