Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetuai Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0.
Pejabat Menteri Besar Selangor dalam kenyataan memaklumkan, misi anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu akan membawa 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.
“Menteri Besar akan berlepas pada Ahad ini (esok) untuk mengetuai Delegasi Malaysia, bagi memastikan pelepasan kontena di Kaherah berjalan selamat.
“Beliau juga akan mengetuai sidang khas di pintu sempadan Rafah untuk menyatakan tegas pendirian Malaysia terhadap isu kepungan Gaza, seterusnya memantau pelepasan delegasi Sumud Nusantara di Pelabuhan Barcelona, Sepanyol.
“Dengan tugasan mencabar dan penuh risiko ini, kita mohon warga Selangor dan Malaysia mendoakan supaya misi negara yang diketuai Amirudin serta setiap petugas berjalan sempurna serta selamat,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Selangor dan Malaysia akan terus menegaskan serta mempertahankan keadilan buat rakyat Palestin yang masih berdepan penindasan rejim Zionis Israel.
Delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 merupakan satu usaha bersepadu yang melibatkan pelbagai organisasi kemanusiaan tempatan dan antarabangsa.
Ini adalah usaha kali kedua dilakukan untuk memasuki Gaza.
Kredit Gambar Utama: FMT






