Turunnya Nabi Isa AS di akhir zaman merupakan satu peristiwa besar yang cukup menarik perhatian. Meskipun peristiwa ini tidak disebut secara jelas dalam al-Quran, namun terdapat isyarat mengenainya di dalamnya. Daripada Ibnu Abbas RA daripada Nabi SAW mengenai firman Allah Taala yang bermaksud: “Dan sesungguhnya ia (Nabi ‘Isa) menjadi tanda kedatangan hari Kiamat.” (az-Zukhruf: 61), lalu sabda baginda: “Iaitu keluarnya ‘Isa bin Maryam AS sebelum tibanya hari Kiamat.” (Riwayat Ahmad, at-Tabarani dan Ibnu Hibban. Hadis hasan). Tafsiran Nabi SAW terhadap ayat tersebut merupakan bukti jelas bahawa turunnya Nabi Isa AS di akhir zaman terdapat di dalam al-Quran, walaupun secara isyarat.
Sebagaimana hadis-hadis mengenai munculnya Imam al-Mahdi dan keluarnya Dajjal, hadis-hadis mengenai turunnya Nabi Isa AS juga diriwayatkan kepada kita secara terperinci. Antaranya ialah perkhabaran mengenai baginda akan menziarahi kubur Nabi Muhammad SAW. Daripada Abu Hurairah RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Nescaya ‘Isa bin Maryam akan turun sebagai pemerintah yang adil dan pemimpin yang saksama. Dan nescaya beliau akan merentasi perjalanan bagi menunaikan haji atau umrah, atau pun kedua-duanya sekali. Dan nescaya beliau akan mendatangi kuburku hingga beliau memberi salam kepadaku, dan nescaya aku akan menjawab salamnya itu.” (Riwayat al-Hakim, katanya: Sahih sanadnya)
Jawapan salam Baginda Nabi SAW kepada Nabi ‘Isa AS dalam keadaan sedar (yaqazah) ini bukanlah suatu perkara yang mustahil. Ia adalah satu mukjizat bagi seorang Nabi dan dianggap sebagai karamah sekiranya berlaku kepada para wali. Malah, sebelumnya Nabi ‘Isa AS pernah bertemu dengan Baginda Nabi SAW sewaktu baginda diisrak-mikrajkan oleh Allah SWT. Pertemuan secara bersemuka itu berlaku ketika Nabi SAW naik ke langit yang kedua. Di situ, baginda bertemu dengan Nabi ‘Isa AS berserta Nabi Yahya AS. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Terdapat satu pandangan menarik berkaitan pertemuan ini. Iaitu al-Hafiz az-Zahabi dalam kitab Tajrid Asma’ as-Sahabah menjadikannya sebagai dalil bahawa Nabi Isa AS adalah termasuk dalam kalangan para sahabat Nabi Muhammad SAW.
Kata al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah: “az-Zahabi menyebutkannya dalam at-Tajrid sebagai tambahan ke atas pengarang sebelumnya. Kata beliau: ‘Isa bin Maryam, seorang utusan Allah. Beliau pernah melihat Nabi SAW pada malam Israk dan Mikraj serta mengucapkan salam kepadanya. Maka, beliau adalah seorang Nabi dan juga seorang sahabi (sahabat Nabi SAW). Dan beliau juga adalah orang yang terakhir akan meninggal dunia daripada kalangan para sahabat.”
Dalam mendukung pernyataan tersebut, al-Hafiz Ibnu Hajar mengulas dengan katanya: “Penyebutan Nabi Isa (dalam kalangan sahabat) dapat diterima khususnya kerana beberapa perkara yang menunjukkan demikian. Pertama, beliau diangkat ke langit dalam keadaan masih hidup, menurut satu daripada dua pandangan mengenainya. Kedua, beliau bertemu dengan Nabi SAW di Baitul Maqdis, berdasarkan pandangan yang mengatakan tidak memadai pertemuannya dengan baginda di langit kerana hukumnya perlu daripada hukum yang zahir. Ketiga, beliau akan turun semula ke bumi, lalu membunuh Dajjal dan memerintah dengan syariat Nabi Muhammad SAW. Maka, dengan ketiga-tiga sebab ini beliau termasuk dalam definisi sahabi. Inilah yang dipegang oleh az-Zahabi.”
Pandangan al-Hafiz az-Zahabi dan al-Hafiz Ibnu Hajar ini cukup menarik dalam memperincikan lagi kedudukan Nabi Isa AS. Justeru, terdapat kata-kata yang berlegar dalam kalangan masyarakat bahawa Nabi Isa AS akan turun sebagai umat Nabi Muhammad SAW dan bukan sebagai seorang Nabi. Kata-kata ini betul jika difahami dengan makna Nabi ‘Isa AS turun sebagai umat Nabi Muhammad SAW dan bukan sebagai seorang Nabi yang membawa syariat baharu. Sebaliknya, baginda hanya akan melaksanakan dan memperkukuhkan syariat Nabi Muhammad SAW sebagai pemerintah yang adil dan pemimpin yang saksama. Manakala, status baginda sebagai seorang Nabi tetap kekal dan tidak terlucut. Ini berlaku pada ramai Nabi yang terdahulu, seperti misalnya Nabi Harun AS mengikut syariat Nabi Musa AS. Maka, kefahaman sebegini benar dan tiada masalah.
Namun, jika difahami dengan makna Nabi Isa AS turun sebagai umat Nabi Muhammad SAW namun hilang status kenabiannya. Maka, kefahaman sebegini salah dan agak bermasalah. Lantaran itu, perkara ini perlu difahami dengan baik agar kita tidak menyentuh kesucian maqam nubuwwah (kenabian) yang ada pada Nabi Isa AS hingga menyebabkan akidah kita dalam bab tersebut tidak menepati pegangan Ahlus Sunnah Waljamaah.
Penulis Pensyarah Kanan di Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Universiti Islam Selangor (UIS)
© New Straits Times Press (M) Bhd






