Dikritik Kurang Aksi Lumba Motor, Ini Respons Pengarah Malaikat Malam

Dikritik Kurang Aksi Lumba Motor, Ini Respons Pengarah Malaikat Malam


Pengarah muda, Nazifdin Nasrudin tampil memberi respons terhadap kritikan segelintir pihak yang mendakwa filem arahannya, Malaikat Malam kurang menampilkan elemen perlumbaan motosikal walaupun mengangkat watak utama sebagai ‘mat motor’.

Filem yang mula ditayangkan di pawagam sejak 26 Mac lalu itu menjadi bualan hangat di media sosial terutama di Threads, dengan sebahagian penonton mempersoalkan keseimbangan antara aksi dan penceritaan.

Menjawab kritikan penonton, Nazifdin tidak bersetuju dengan dakwaan hanya sedikit babak perlumbaan dipaparkan dalam filem tersebut.

“Babak perlumbaan motosikal sebenarnya lebih daripada apa yang diperkatakan. Cuma memang ada kekangan dari segi pembikinan. Saya mohon maaf jika ada yang rasa kurang memuaskan.

“Arah filem ini lebih kepada elemen romantik. Dari awal lagi melalui treler, kita sudah beri gambaran tentang pendekatan tersebut. Perlumbaan tetap ada, tetapi kami cuba tampilkan gaya yang berbeza.

“Kalau hanya fokus pada aksi tanpa kisah hubungan antara Azam (lakonan Syafiq Kyle) dan Ratna (lakonan Tracie Sinidol), mungkin cerita itu tidak akan terasa lengkap. Setiap penonton ada citarasa masing-masing,” katanya.

Sebagai pengarah baharu, Nazifdin memilih untuk berlapang dada menerima setiap reaksi penonton terhadap karya sulungnya itu.

“Saya ada baca komen, tetapi tidaklah sampai rasa tertekan. Saya sudah lama dalam industri dan pernah berdepan kritikan yang lebih keras.

“Bagi saya, setiap komen sama ada positif atau negatif adalah peluang untuk saya belajar dan perbaiki diri.

ARTIKEL BERKAITAN: Aksi Penuh Adrenalin Dipadankan Dengan Kisah Cinta Mat Rempit & Gadis Buta, Malaikat Malam Tampil Naskhah Berbeza

“Saya harap apa pun pandangan yang diberikan, penonton tahu kami sudah cuba sedaya upaya untuk hasilkan yang terbaik,” katanya.

Ditanya mengenai perasaan apabila filem tersebut menerima kritikan, Nazifdin tetap berbangga dengan hasil kerja yang dihasilkan bersama pasukannya.

“Saya tidak rasa sedih. Saya bangga dengan filem ini kerana semua yang terlibat sudah beri komitmen sepenuhnya. Kalau saya kata sedih, seolah-olah saya tidak menghargai usaha mereka.

“Saya anggap ini sebagai satu proses pembelajaran dan saya akan cuba lakukan yang lebih baik selepas ini,” katanya.

Malaikat Malam mengisahkan perjalanan hidup Azam lakonan Syafiq Kyle, seorang ‘mat motor’ yang secara tidak sengaja melanggar gadis buta, Ratna yang dibawakan Tracie Sinidol, sekali gus mengubah arah hidupnya.

Berbeza daripada filem pemotoran lain yang lebih menumpukan aksi semata-mata, Malaikat Malam memberi penekanan kepada hubungan antara watak, termasuk tema kesetiaan dan pengorbanan yang mampu mempengaruhi arah kehidupan seseorang.

Kisah yang diketengahkan turut mencerminkan realiti bahawa setiap individu mempunyai peluang untuk mengubah kehidupan ke arah lebih baik walaupun datang daripada latar belakang yang sering dipandang negatif.

Malaikat Malam merupakan hasil kerjasama Viper Studios, Skop Productions, Astro Shaw dan Primeworks Studios, selain menampilkan barisan pelakon seperti Syafiq Kyle, Tracie Sinidol, Que Haidar, Riezman Khuzaimi serta pelakon muda Amir Nafis, Kodi Rasheed, Juzzthin dan Akmal Asyraf.



Source link

OR

Scroll to Top