Soal Kahwin Perlukan Masa, Zul Ariffin ‘Pasang Target’ Tamat Zaman Bujang Sebelum Umur 50 Tahun

Soal Kahwin Perlukan Masa, Zul Ariffin ‘Pasang Target’ Tamat Zaman Bujang Sebelum Umur 50 Tahun


Pelakon Zul Ariffin mengakui usianya yang bakal mencecah 40 tahun ketika ini amat sesuai untuk mendirikan rumah tangga atas faktor kematangan dan kestabilan ekonomi.

Kata Zul atau nama lengkapnya,  Zulkifli Ariffin berkata, dia enggan terburu-buru menamatkan zaman bujang dek kerana sibuk dengan jadual kerjanya.

Bagaimanapun, dia juga menafikan bahawa kelewatannya untuk mendirikan rumah tangga bukanlah disebabkan dia terlalu memilih calon isteri.

“Soal bila saya nak kahwin? Tak tahulah. Mungkin dalam lingkungan usia 40-an ni lah, tak adalah sampai umur saya cecah 50-an.

“Nak memilih pasangan pun perlukan masa. Masalahnya saya tak ada masa nak memilih. Saya buat tak tahu saja, jadi hari berlalu macam itu saja.

“Lepas itu saya hanya buat kerja saya sahaja. Kalau kita nak buat sesuatu, kita kena letak fokus. Jadi saya tak fokus ke arah jodoh lagi,” katanya.

Aktor filem Sheriff: Narko Integriti itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Seri Syawal Usanita, baru-baru ini.

Bagi Zul, pemilihan pasangan juga membabitkan proses panjang sebelum saling menerima antara satu sama lain.

Ketika disoal sama ada banyak menerima mesej nakal daripada peminat, Zul mengakui ramai wanita menghantar mesej langsung kepadanya termasuklah ada yang sekadar mahu bergurau dan mengusiknya.

“Memang ada orang DM (mesej langsung). Peminat saja yang DM, tak marah pun.

“Kalau DM (cari) jodoh pun banyak yang gatal, mengarut-ngarut saja. Tapi sebenarnya tiada apa pun,” jelasnya.

Terdahulu, aktor bertubuh sasa itu didakwa menjalin hubungan istimewa dengan seorang penerbit filem, namun kedua-dua pihak tidak mengesahkan desas-desus berkenaan

Sementara itu mengenai kerjaya seni, Zul meminjamkan suara bagi watak Archie Everhardt dalam filem animasi Sony Pictures, Goat versi Malaysia yang ditayangkan bulan lalu.

Menurutnya lagi, dirinya dalam persediaan bagi menjalani penggambaran sebuah filem aksi yang akan diumumkan kelak.



Source link

OR

Scroll to Top