Zi Yu-Noraqilah ke undian utama BAC

Zi Yu-Noraqilah ke undian utama BAC

Zi Yu-Noraqilah ke undian utama BAC


BEREGU remaja negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan berjaya melayakkan diri ke undian utama selepas menewaskan dua perlawanan kelayakan pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China, hari ini.

Julung kali beraksi di peringkat senior, pasangan ini memulakan kemaraan dengan menumpaskan gandingan ke-196 dunia dari Macau, Ng Weng Chi-Pui Chi Wa, 21-11, 21-10 dalam masa 24 minit pada kelayakan pertama.

Dalam perlawanan kedua pula, mereka mengejutkan beregu Thailand yang menghuni ranking ke-78 dunia, Phattharin Aiamvareesrisakul-Sarisa Janpeng, 21-9, 21-13 dalam masa 33 minit.

Kemenangan ini melayakkan mereka ke pusingan 32 terbaik untuk berdepan cabaran lebih getir, iaitu menentang gandingan nombor lapan dunia dari Taiwan, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu, esok.

Bagi Zi Yu dan Noraqilah, masing-masing berusia 15 dan 18 tahun, penyertaan di Kejohanan Asia merupakan pendedahan awal terbaik bagi mengasah pengalaman bertaraf antarabangsa.

Kejayaan mereka ke undian utama turut menyaksikan Malaysia mempunyai empat wakil dalam kejohanan kali ini, termasuk pasangan beregu wanita nombor dua dunia, Pearly Tan-M Thinaah.

Pearly-Thinaah dijadualkan bertemu pasangan Hong Kong, Fan Ka Yan-Yau Mau Ying (ranking ke-50 dunia), esok dengan rekod pertemuan berpihak kepada gandingan negara 1-0.

Selain itu, satu pertemuan menarik akan menyaksikan dua pasangan Malaysia bertembung sesama sendiri iaitu Carmen Ting-Ong Xin Yee (No. 25 dunia) menentang Chong Jie Yu-Vanessa Ng (No. 65 dunia).

Perlawanan ini memastikan sekurang-kurangnya satu slot ke peringkat 16 terbaik menjadi milik wakil Malaysia.

Dalam sektor beregu campuran, juara dunia Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menewaskan wakil Jepun, Haruki Kawabe-Kokona Ishikawa dalam masa 36 minit, manakala pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien turut mencatat kemenangan pada hari pertama.

Ketiga-tiga beregu campuran kebangsaan itu mara ke pusingan kedua esok.

 



Source link

OR

Scroll to Top