Semarakkan semangat SEAblings

Semarakkan semangat SEAblings

Semarakkan semangat SEAblings


syafil.syazwan@hmetro.com.my

Beberapa bulan lalu, garis masa media sosial kita menyaksikan kebangkitan satu fenomena yang cukup unik. Istilah ‘SEAblings’, gabungan akronim South East Asia dan siblings muncul sebagai satu bentuk solidariti digital yang luar biasa.

Ia bermula apabila netizen dari Asia Tenggara, sering menjadi sasaran kecaman dan diskriminasi oleh segelintir netizen dari Korea Selatan. Tindakan membalas secara kolektif oleh warga Asia Tenggara ini membuktikan kita bukan lagi ‘pak turut’ yang boleh dibuli sesuka hati di ruang siber.

Namun, persoalan besar yang timbul hari ini, adakah gerakan SEAblings ini masih hidup dan bernyawa, atau ia sekadar satu trend bermusim yang kini sudah menyepi ditelan zaman?

Selepas apa yang saya lalui sendiri baru-baru ini, saya berpendapat gerakan ini bukan sahaja perlu hidup, malah wajib diperkasakan sebagai satu bentuk tuntutan hormat terhadap maruah warga tempatan.

Baru-baru ini, saya bersama seorang rakan jurugambar ditugaskan membuat liputan sebuah konsert artis terkemuka dari Korea Selatan. Sebagai petugas media yang sudah menghadiri puluhan acara konsert antarabangsa, kami sangat memahami protokol.

Ada penganjur menetapkan syarat ketat seperti hanya benarkan rakaman untuk tiga lagu pertama atau ada yang langsung tidak membenarkan jurugambar media luar atas faktor hak eksklusif. Kita faham dan kita hormat.

Masalahnya, dalam tugasan kali ini, komunikasi awal sangat jelas, kami dibenarkan masuk. Malah, di kaunter pendaftaran, rakan jurugambar saya sekali lagi meminta pengesahan urus setia media tempatan. Jawapannya tetap sama, ‘Ya, anda boleh membuat liputan’.

Namun, suasana harmoni itu berubah menjadi tegang dalam sekelip mata sebaik sahaja kami melangkah masuk ke ruang acara. Rakan jurugambar saya dikepung beberapa individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil pengurusan dan penganjur dari Korea Selatan, termasuk jurugambar rasmi mereka.

Apa yang berlaku adalah satu tindakan yang sangat biadap dan tidak profesional. Mereka bertindak seperti ‘polis’ yang memeriksa kamera rakan saya secara paksa. Dengan nada menekan, mereka mendesak semua gambar yang diambil dipadamkan serta-merta. Mereka memerhatikan setiap inci skrin kamera seolah-olah jurugambar ini pencuri yang menyeludup rahsia negara. Walaupun rakan saya menjelaskan sudah mendapat keizinan rasmi, mereka tetap berkeras.

Apabila saya keluar untuk mendapatkan penjelasan daripada urus setia media tempatan, saya dapati pihak urus setia sendiri berada dalam keadaan buntu dan keliru.

Menurut mereka, pada awalnya pihak pengurusan Korea Selatan itulah yang meminta liputan media tempatan. Namun, apabila acara bermula, mereka mengubah fikiran secara drastik dan bertindak kasar.

Urus setia tempatan sendiri mengakui sikap penganjur dan pengurusan dari sana sangat menyulitkan keadaan. Di sinilah letaknya kekesalan saya. Saya tidak menyalahkan artis terbabit.

Saya sendiri ada kalanya meluangkan masa menonton drama Korea dan menghargai nilai estetika seni mereka. Minat itu subjektif. Namun, sikap pengurusan mereka yang ‘lebih sudu daripada kuah’ ini adalah barah yang merosakkan hubungan profesional.

Jika tidak dibenarkan, maklumkan dari awal. Kami tidak akan membuang masa dan tenaga hadir. Tetapi untuk menjemput kami, kemudian melayan kami seperti ‘sampah’ di tanah air kami sendiri, itu satu penghinaan yang tidak boleh diterima.

Duit warga tempatan mereka kaut melalui jualan tiket yang mencecah ratusan ringgit, tetapi adakah mereka mempunyai sekelumit rasa hormat terhadap warga tempatan yang hadir bekerja?

Situasi yang menimpa saya dan rakan jurugambar ini seolah-olah satu tamparan hebat yang menyedarkan saya mengenai betapa pentingnya semangat SEAblings. Sebelum ini, saya hanya membaca keluhan netizen Filipina atau Thailand mengenai bagaimana mereka dipandang rendah. Sekarang, saya menghadapinya sendiri di depan mata.

Gerakan SEAblings tidak sepatutnya mati. Ia perlu menjadi satu mesej yang konsisten kepada pihak luar, sama ada dari Timur mahupun Barat, bahawa Asia Tenggara bukan sekadar ‘lubuk duit’ atau pasaran murah untuk produk mereka. Kita adalah serantau yang mempunyai maruah, etika kerja dan kedaulatan sendiri.

Mengapa kita perlu terus menyokong secara membuta tuli jika pihak pengurusan mereka tidak mempunyai etika asas dalam menghormati pengamal media tempatan?

Adakah kita terlalu kerdil di mata mereka sehingga mereka merasakan mereka berhak mengarah dan menindas petugas media sesuka hati?

Saya melihat anak muda kita bersorak, menangis dan menghabiskan wang demi menyokong artis ini. Ia tidak salah, itu hak masing-masing. Namun, sangat menyedihkan apabila sokongan tidak berbelah bahagi itu dibalas kebiadapan pihak yang mengurus artis itu.

Tindakan membuli jurugambar tempatan dan memaksa memadam bahan kerja adalah satu bentuk intimidasi yang mencerminkan mentaliti ‘superior’ tidak bertempat.

Oleh itu, saya menyeru agar semangat solidariti Asia Tenggara ini terus kukuh. Jika satu negara dalam blok SEA ini diperlekehkan, seluruh warga SEA harus bersuara. Kita perlu menunjukkan bahawa kita mempunyai standard dan tidak membiarkan sesiapa pun datang ke rumah kita dan melayan kita seperti warga kelas kedua.

Pengalaman pahit di konsert itu benar-benar membuka mata saya. Gerakan SEAblings tidak boleh menyepi. Ia mesti terus menjadi perisai digital dan sosial kita. Kita tidak mahu mewujudkan kebencian, tetapi kita mahu menuntut penghormatan yang setara.

Kepada penganjur dan pengurusan luar, belajarlah untuk menghormati budaya dan profesionalisme di negara tempat anda mencari rezeki.

Kepada warga SEAblings, teruskan bersatu. Jangan biar maruah kita dipijak hanya kerana kita terlalu memuja bakat mereka sehingga lupa harga diri kita sendiri.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top