Konsert Kristal OG Rai 25 Tahun Perjalanan, Satukan ‘Keluarga Besar’ Dalam Pentas Bersejarah

Konsert Kristal OG Rai 25 Tahun Perjalanan, Satukan ‘Keluarga Besar’ Dalam Pentas Bersejarah


Kumpulan rock Kristal bakal mencipta sejarah tersendiri apabila menghimpunkan barisan ahli lama dan baharu menerusi konsert istimewa ‘Kristal OG – 25 Tahun Dalam Satu Malam’ yang dijadualkan berlangsung pada 1 Mei ini di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert berkenaan dianjurkan bersempena ulang tahun ke-25 perjalanan seni kumpulan itu dalam industri muzik tanah air, sekali gus menjadi platform mengimbau nostalgia serta meraikan legasi yang dibina sejak penubuhan mereka.

Menurut vokalisnya, Lan Solo, konsert tersebut akan menampilkan kelainan berbanding persembahan terdahulu apabila mereka tampil dengan konsep ‘all out’.

“Konsert kali ini berlainan dengan konsert Kristal sebelum ini. Kami akan ‘all out’ dengan saya menyanyikan lagu-lagu daripada album pertama sehingga album ke-13.

“Lagu-lagu ini termasuk yang dirakam bersama ahli lain seperti Rody, Izal, Joe, Acap, Amai, Ainol, Rijal dan ramai lagi keluarga besar Kristal,” katanya.

Tambah Lan, perjalanan 25 tahun itu sarat dengan pelbagai pengalaman yang membentuk identiti kumpulan berkenaan hari ini.

“Sepanjang 25 tahun ini, kami melalui pelbagai cabaran, jatuh bangun, sedih dan gembira. Walaupun ahli silih berganti, semangat untuk berkarya tidak pernah pudar.

“Konsep dan genre muzik kami kekal sama, dan itulah yang menjadikan Kristal terus relevan hingga hari ini,” katanya.

Konsert itu dianjurkan oleh Pertubuhan Kasih KhaiRosma dengan kerjasama Blavia dan Andromeda Event sebagai penganjur acara.

Sokongan turut diberikan oleh Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures menerusi Dana Kandungan Kreatif – Industri Muzik dan Dana Persembahan Muzik.

Sementara itu, wakil penganjur, Khai, berkata idea penganjuran konsert berkenaan tercetus selepas beliau menjalinkan hubungan rapat dengan Lan serta melihat potensi untuk mengangkat perjalanan seni kumpulan itu ke pentas lebih besar.

“Lan sebelum ini tidak pernah mengadakan konsert solo berskala besar, hanya tampil bersama vokalis lain. Dari situ timbul idea untuk menghasilkan konsert ini.

“Sudah tentu ada cabaran, tetapi kami mahu menjadikan Konsert Kristal OG ini sebagai satu jenama,” katanya.

Artikel Berkaitan: “Dah Rendahkan Ego, Tapi…” – Lan Solo Kecewa Rody Masih ‘Dingin’, Impian Bersatu Dalam Konsert Kristal OG Terkubur



Source link

OR

Scroll to Top