TFC sokong perbincangan konstruktif demi kelangsungan Liga M

TFC sokong perbincangan konstruktif demi kelangsungan Liga M


sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) muncul kelab terbaharu menyokong sebarang usaha ke arah mewujudkan landasan perbincangan terbuka dan konstruktif bagi memastikan kelangsungan Liga Malaysia (Liga M).

Pandangan itu dilontarkan Ketua Pegawai Operasi (COO) Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain yang menegaskan situasi semasa sangat memerlukan pendekatan lebih menyeluruh dan inklusif berpaksikan kerjasama erat antara semua kelab, penganjur liga serta pemegang taruh.

“Demi kelangsungan bola sepak Malaysia, TFC mengambil maklum pandangan dikemukakan oleh pihak berkepentingan dalam landskap bola sepak tempatan berhubung keperluan untuk memperkukuh Liga M.

“TFC berpandangan situasi semasa sangat memerlukan pendekatan lebih menyeluruh, inklusif serta berpaksikan kerjasama erat antara semua kelab, penganjur liga serta pemegang taruh.

“Justeru, TFC menyokong sebarang usaha ke arah mewujudkan landasan perbincangan terbuka dan konstruktif dengan berfokus kepada penyelesaian jangka panjang.

“TFC percaya sebarang usaha penambahbaikan daripada semua aspek Liga M akan kembali memberi harapan baharu kepada komuniti bola sepak tanah air,” katanya menerusi kenyataan rasmi kelab.

Beliau berkata, TFC turut komited untuk memainkan peranan secara profesional dalam setiap inisiatif bagi memastikan Liga M terus kekal stabil, kompetitif dan seterusnya berdaya saing.

Menurutnya, bagi memastikan misi itu tercapai, TFC akan memberi kerjasama erat kepada semua pihak termasuk perbincangan lanjut demi kebaikan bersama amnya dalam industri bola sepak tanah air.

Terdahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC (SFC), Negeri Sembilan FC (NSFC), Penang FC dan Kuala Lumpur City FC berpandangan sudah tiba masanya semua pihak duduk semeja berbincang bagi memastikan kesinambungan Liga M yang kini berdepan dengan pelbagai cabaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top