Meskipun wajahnya dikatakan mirip pelakon popular Indonesia, Jefri Nichol, pelakon Ikmal Amry bagaimanapun berharap orang ramai berhenti membuat perbandingan berbaur negatif terhadap dirinya dan aktor itu termasuk melabelnya sebagai ‘red flag’.
Kata Ikmal atau nama lengkapnya, Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 31, tanggapan tersebut tidak tepat memandangkan teraju utama filem Ali Topan itu memiliki keperibadian yang baik seperti yang diceritakan oleh rakan-rakannya.
“Saya pernah tanya dengan kawan saya pelakon Indonesia yang pernah jumpa dia, dia sangat humble.
“Kalau jumpa orang dia akan tunduk. Cara dia layan kalian di Threads itu memang soft spoken.
“Kalian kena kenal orang tu baru boleh judge. Janganlah cakap orang red flag,” katanya.

Ikmal berkongsi perkara demikian ketika ditemui pada majlis tayangan episod akhir drama Khianat Yang Terpilih yang di adakan di Hotel Seri Pacific pada Rabu.
Dalam pada itu, Ikmal meluahkan rasa syukur apabila ada peminat yang melabelkannya sebagai ‘green flag guy’, namun mengakui dirinya juga tidak sempurna seperti yang disangka.
“Saya pun tiadalah se ‘green’ yang orang sangka sebab kalian tidak hidup dengan saya. Isteri saya saja yang tahu perangai saya macam mana.
“Biarlah orang fikir kita ni macam mana, sebenarnya Allah tutup aib kita saja,” jelasnya.

Mengulas lanjut, aktor filem Gantung: Musketeer Code itu berharap isu wajah seiras antara dia dan bekas kekasih Ameera Khan itu tidak terus menerus menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan warganet apatah lagi sehingga menimbulkan salah faham.
“Perkara ini dah lama berlaku. Setiap kali saya keluar televisyen akan ada orang yang samakan wajah kami.
“Saya rasa, saya pun tumpang rezeki dia juga kerana dia sangat terkenal.
“Saya pun dah mempunyai tiga orang anak, orang membandingkan kami sejak zaman saya bujang lagi.
“Bagi saya, boleh saja nak bandingkan tapi jangan sampai menghina. Masing-masing ada cita rasa yang berbeza, jadi hormat sajalah,” ujarnya.
Terdahulu, kecoh apabila rata-rata peminat mendakwa Ikmal lebih kacak berbanding Jefri.
Namun, tidak mengambil pusing dengan perbandingan itu, kedua-dua aktor berkenaan bagaimanapun dilihat semakin rancak berbalas komen di platfrom media sosial selain memuji antara satu sama lain.


Artikel Berkaitan:Ben Amir, Amyra Rosli, Ikmal Amry, Puteri Aishah Bergandingan Dalam ‘Khianat Yang Terpilih’
Artikel Berkaitan:“Tiada Rahsia Antara Kami” – Ikmal Amry Tak Halang Isteri Periksa Telefon
Artikel Berkaitan:Tular Video Ikmal Amry Tunai Solat Di Lokasi Penggambaran, Netizen Berseloroh – “Ni Imam Yang Dah Dimiliki”






