Pembangkang diselar politikkan kehadiran 2 kapal tentera laut China

Pembangkang diselar politikkan kehadiran 2 kapal tentera laut China


KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan menyelar pembangkang yang disifatkan cuba mempolitikkan isu kehadiran dua kapal tentera laut China yang berlabuh di Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Ketua Peneranganya, Ammar Atan berkata, kehadiran tentera laut China itu merupakan sebahagian daripada amalan diplomasi pertahanan yang diamalkan Malaysia dengan banyak negara lain seperti Amerika Syarikat (AS), Australia, dan India.

Malah, ujar beliau, kehadiran tentera laut China itu juga adalah dalam konteks kerjasama antarabangsa dengan Malaysia yang telah lama terjalin.

“Jangan heret diplomasi pertahanan negara ke dalam agenda politik sempit hanya untuk meraih publisiti murahan. Rosak otak mereka.

“Letakkan fakta di hadapan, bukan persepsi,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Ammar berkata, Malaysia kekal berprinsip dan berkecuali dalam hubungan antarabangsa bagi memastikan keseimbangan kuasa yang strategik di rantau ini.

Terdahulu, beberapa pemimpin pembangkang mempersoalkan kehadiran dua buah kapal tentera laut China iaitu Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang yang berlabuh di Pulau Pinang yang disifatkan tidak sensitif dengan konflik yang sedang berlaku di Laut China Selatan.

Malah, pembangkang turut mempersoalkan mengapa kehadiran tentera laut China itu diberikan sambutan luar biasa selain diizinkan melawat sekolah persendirian Cina di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, kunjungan silaturahim dua kapal latihan dari China bersama pelajar dari Naval University of China ke Pelabuhan Pulau Pinang itu adalah mengikut saluran rasmi.

Malah, ujar Hon Wai, Pegawai Residen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pulau Pinang turut hadir dalam kunjungan atas kapal pelatih Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) itu bersama pemimpin kerajaan negeri sebagai tetamu. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top