London: Skuad England dijangka mengharungi dua aksi pemanas badan terakhir dalam cuaca panas terik Florida menjelang kempen Piala Dunia, selepas jadual rasmi dimuktamadkan.
Anak buah Thomas Tuchel akan berdepan New Zealand pada 7 Jun di Tampa Bay sebelum menentang Costa Rica di Orlando empat hari kemudian, dengan kedua-dua perlawanan dijadual bermula jam 4 petang waktu tempatan.
Aksi itu dilihat sebagai persediaan penting buat England untuk menyesuaikan diri dengan kondisi mencabar sepanjang kejohanan di Amerika Utara nanti.
Selepas dua perlawanan itu, skuad England akan berpangkalan di Kansas City, Missouri, yang dipilih oleh Persatuan Bola Sepak England sebagai lokasi utama sepanjang kejohanan berlangsung.
England akan membuka kempen Kumpulan L menentang Croatia di Dallas pada 18 Jun, sebelum berdepan Ghana di Boston dan Panama di New Jersey dalam usaha memburu kejuaraan utama pertama sejak 1966.
© New Straits Times Press (M) Bhd






