Langkah besar untuk masa depan

Langkah besar untuk masa depan


Setiap tahun, ribuan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdepan satu persimpangan yang sangat penting dalam hidup mereka iaitu apakah bidang pengajian yang patut dipilih untuk melangkah ke peringkat seterusnya. Pilihan ini bukan sekadar soal mengisi borang permohonan atau menurut arus semasa, bahkan keputusan besar yang akan membentuk arah kehidupan, identiti profesional, tahap sumbangan kepada masyarakat bahkan kedudukan seseorang pada masa hadapan.

Dalam bahasa yang mudah, pilihan hari ini benar-benar menentukan masa hadapan. Justeru, perancangan pendidikan selepas SPM hendaklah dibuat secara cermat, berilmu dan berpandukan pertimbangan yang seimbang antara minat, kemampuan, peluang kerjaya, keperluan negara dan panduan agama.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat serta memerhatikan apa yang dia sediakan (daripada amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan) bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hashr ayat 18)

Ayat ini memberi asas besar tentang kepentingan berfikir secara terancang dan tidak hidup secara sambil lewa.

Dalam konteks semasa, perancangan masa hadapan menjadi semakin penting kerana landskap pekerjaan dan pembangunan negara sedang berubah dengan begitu pantas. Bagaimanapun, memilih bidang pengajian yang sesuai bukan bermaksud semua pelajar mesti masuk ke bidang yang sama. Islam tidak mendidik manusia supaya meniru orang lain tanpa ilmu. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (Surah al-Isra ayat 36)

Ayat ini sangat penting dalam isu pemilihan program pengajian. Ramai pelajar membuat keputusan berdasarkan pengaruh rakan, trend media sosial atau nama kursus yang kelihatan hebat sedangkan mereka tidak benar-benar memahami kandungannya, tahap kesukaran, laluan kerjaya dan kesesuaiannya dengan diri sendiri.

Daripada sudut pandang ulama muktabar, ilmu yang dipelajari oleh umat Islam tidak terhad kepada satu kelompok sempit sahaja. Tradisi keilmuan Islam membezakan antara ilmu yang menjadi tuntutan individu dan ilmu keperluan masyarakat secara kolektif. Dalam huraian ulama, ilmu dan kepakaran yang diperlukan masyarakat sehingga jika ditinggalkan akan membawa mudarat maka tergolong sebagai fardu kifayah.

Atas dasar itu, antara pilihan pengajian yang terbaik pada zaman ini ialah bidang teknologi digital dan AI kerana sektor ini sedang membentuk ekonomi baharu dan memerlukan bakat yang ramai serta berkualiti. Namun, pilihan ini hanya menjadi terbaik jika sesuai dengan minat, asas akademik dan kesanggupan pelajar untuk belajar secara berterusan. Bagi pelajar yang cenderung kepada penyelesaian masalah, matematik, logik dan inovasi, bidang seperti sains komputer, AI, sains data, kejuruteraan perisian dan keselamatan siber sangat berpotensi.

Bagi pelajar yang lebih praktikal dan mahir bekerja dengan tangan, TVET, teknologi automotif, elektronik, mekatronik, kulinari, pembinaan pintar dan penyelenggaraan industri juga sangat bernilai, malah dasar TVET negara sendiri menegaskan TVET sebagai laluan yang menyediakan kemahiran teknikal dan praktikal untuk pekerjaan serta keusahawanan di bawah Dasar TVET Negara 2030.

Pada masa sama, negara juga tetap memerlukan tenaga profesional lain seperti doktor, ahli farmasi, guru, peguam, akauntan, jurutera, pakar pertanian, saintis makanan, pakar psikologi, pakar komunikasi dan ahli dasar awam.

Lebih penting lagi, bidang pengajian Islam juga tidak boleh diketepikan. Ketika masyarakat berdepan cabaran akidah, kekeliruan moral, penyalahgunaan teknologi, budaya hedonisme dan krisis adab, negara tetap memerlukan ulama, pendidik, guru agama, penyelidik syariah, pakar al-Quran, kaunselor Islam, ahli fatwa, pendakwah berwibawa dan sarjana Pengajian Islam yang mampu memimpin masyarakat dengan ilmu yang sahih serta pendekatan yang berhikmah.

Oleh itu, bagaimana cara membuat pilihan yang terbaik?

Pertama, pelajar perlu mengenal diri dengan jujur apakah minat sebenar, kekuatan akademik, gaya belajar dan kecenderungan jangka panjang.

Kedua, pelajar perlu mengkaji kandungan program, bukan sekadar nama kursus.

Ketiga, pelajar mesti melihat prospek kerjaya dan keperluan negara supaya pilihan itu ada nilai masa hadapan.

Keempat, pelajar hendaklah mendapatkan pandangan ibu bapa, guru, kaunselor, pensyarah dan pihak yang benar-benar memahami bidang tersebut.

Kelima, lakukan solat Istikharah, perbanyakkan doa dan serahkan keputusan akhir kepada Allah selepas usaha yang bersungguh-sungguh.

Kesimpulannya, memilih program pengajian selepas SPM ialah keputusan strategik yang tidak wajar dibuat secara terburu-buru. Bidang teknologi, AI, TVET dan profesion kritikal perlu diberi perhatian kerana sangat berkait dengan kemajuan Malaysia manakala bidang Pengajian Islam tetap penting bagi membina kesedaran agama, adab dan panduan nilai dalam masyarakat. Pilihan terbaik bukan semestinya yang paling popular, tetapi yang paling sesuai dengan diri, paling besar manfaatnya dan paling luas sumbangannya.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top