Liga M belum sampai tahap kritikal

Liga M belum sampai tahap kritikal

Liga M belum sampai tahap kritikal


LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan kedudukan saingan Liga Malaysia (Liga M) ketika ini masih belum mencapai tahap kritikal atau merudum seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, persepsi negatif yang timbul berikutan cadangan mengadakan perjumpaan meja bulat bersama pemilik kelab tidak seharusnya disalah tafsir sebagai petanda liga sedang tenat.

Menurutnya, situasi yang berlaku ketika ini adalah sebahagian daripada proses transisi ke arah liga yang lebih stabil menerusi pelaksanaan peraturan Financial Fair Play (FFP).

“Bagi kami di MFL, kami tidak melihat situasi ini sebagai kritikal atau liga sedang merosot. Sebaliknya, mesyuarat (meja bulat) ini adalah platform terbaik untuk mendengar suara kelab dan menambah baik isu-isu yang dibangkitkan.

“Kita perlu sedar bahawa pelaksanaan FFP baru memasuki tahun pertama. Malah, saingan La Liga di Sepanyol pun mengambil masa lima tahun untuk benar-benar menstabilkan liga mereka.

“Walaupun baru setahun, kita sudah melihat banyak perkembangan positif daripada pelaksanaan FFP ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis kolaborasi antara Konami dan MFL pada Khamis.

Mohd Shazli menjelaskan, MFL sentiasa bersikap terbuka untuk menerima cadangan dan pandangan daripada setiap kelab demi memastikan hala tuju liga berada di landasan yang betul.

Mengulas lanjut mengenai sesi meja bulat yang dituntut oleh beberapa kelab baru-baru ini, beliau berkata perancangan tersebut sudah ada dalam kalendar MFL, namun terpaksa ditangguhkan atas faktor yang tidak dapat dielakkan.

“Kami memang sudah merancang untuk bertemu semua CEO kelab, tetapi seperti sedia maklum, terdapat beberapa perkara yang timbul menyebabkan ia tertangguh.

“Insya-ALLAH, dengan adanya permintaan dan maklum balas daripada kelab, MFL akan mengaturkan mesyuarat yang melibatkan semua CEO kelab, pemegang taruh dan ahli lembaga pengarah dalam masa terdekat.

“Kami sedang mengenal pasti tarikh yang sesuai bagi memastikan kehadiran semua pihak terlibat dapat diselaraskan. Saya jangka ia akan diadakan sebelum akhir April ini,” ujarnya.

Sebelum ini, beberapa kelab utama seperti Selangor FC, Johor Darul Ta’zim (JDT), Negeri Sembilan FC, Terengganu FC, Penang FC dan Sabah FC menyokong penuh cadangan mengadakan perbincangan meja bulat bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut kewangan yang melanda industri bola sepak tempatan.

Isu tunggakan gaji dan peningkatan kos operasi pasukan antara agenda utama yang dijangka akan mendominasi sesi perbincangan itu nanti dalam usaha memastikan kelangsungan liga kompetitif tersebut.



Source link

OR

Scroll to Top