Dipersilakan pindah ke negeri lain jika tidak puas hati pertukaran cuti Sabtu, Ahad – TMJ

Dipersilakan pindah ke negeri lain jika tidak puas hati pertukaran cuti Sabtu, Ahad – TMJ


KUALA LUMPUR – Pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati berhubung pertukaran semula cuti hujung minggu di Johor kepada Sabtu dan Ahad mulai 1 Januari tahun depan demi agenda peribadi, melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik dipersilakan berpindah ke negeri-negeri yang masih bercuti pada hari Jumaat dan Sabtu.

Titah itu dibuat oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Baginda bertitah, dalam mempertimbangkan kehendak rakyat Johor untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak-anak, kesan ekonomi yang positif adalah seiring dengan pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat di negeri itu.

Tegas baginda, pelaksaan projek pembangunan ini akan membawa keuntungan kepada negeri dan rakyatnya.

Menurut baginda, keputusan yang dibuat itu adalah dengan izin dan restu Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, ia turut mengambil kira pandangan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor, kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan dan rakyat.

“Maka saya telah membuat keputusan untuk Johor bercuti semula pada Sabtu dan Ahad.

“Jika ada pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati demi agenda peribadi, nak melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik, anda dipersilakan pindah ke negeri-negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu,” titahnya.

Baru-baru ini, Tunku Mahkota Ismail menerusi kenyataan di Facebook bertitah, baginda sudah menitahkan perkara terbabit kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk dibincangkan.

Susulan itu, Onn Hafiz dilaporkan berkata, penyelarasan semula cuti hujung minggu itu akan membabitkan lebih 4.1 juta rakyat negeri itu termasuk 587,343 pelajar dan 1.948 juta pekerja. – MalaysiaGazette

Cuti mingguan Johor ditukar semula kepada Sabtu, Ahad pada Januari 2025



Source link

OR

Scroll to Top