Untung besar? Petronas bukan tabung kerajaan, hasil tambahan tak cukup tampung subsidi minyak- Tengku Zafrul

Untung besar? Petronas bukan tabung kerajaan, hasil tambahan tak cukup tampung subsidi minyak- Tengku Zafrul


Keuntungan syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) tidak boleh digunakan sepenuhnya untuk menampung subsidi memandangkan ia bukan tabung kerajaan, kata Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau menegaskan, Petronas merupakan syarikat komersial yang mempunyai tanggungjawab besar termasuk kos operasi, hutang dan pelaburan, sekali gus tidak semua hasilnya boleh dimanfaatkan sesuka hati oleh kerajaan.

“Petronas merupakan syarikat komersial yang mempunyai kos, hutang dan pelaburan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zafrul berkata walaupun angka pendapatan syarikat itu kelihatan besar, ia tidak boleh dianggap sebagai wang lebihan yang boleh dibelanjakan tanpa had.

“Ambil contoh tahun 2025, hasil Petronas RM266 bilion dan untung RM45.4 bilion. Nampak besar, tetapi itu bukan duit percuma kerana perlu bayar hutang, melabur dan menampung operasi.
“Kerajaan ambil sebahagian sahaja dan sebenarnya Petronas sudah banyak membantu negara, termasuk RM20 bilion dividen untuk tahun 2026 serta sekitar RM1.5 trilion sejak 1974,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Beliau turut menegaskan bahawa Petronas bukan sumber kewangan yang tidak terhad, terutama ketika kerajaan berdepan kos subsidi yang tinggi.

Katanya, subsidi ketika ini dianggarkan sekitar RM4 bilion sebulan atau RM48 bilion setahun, namun jumlah itu masih tidak setara dengan tambahan hasil minyak sekitar RM10 bilion hingga RM14 bilion.

Artikel lain: 6 kapal Malaysia dah lepas Selat Hormuz, bekalan minyak April–Mei dijangka terkawal! – PM Anwar

Dalam pada itu, beliau memberi analogi mudah bagi menggambarkan risiko pengurusan kewangan yang tidak berhemah.

“Bayangkan seorang peniaga, Ali, yang menggunakan wang di kaunter sesuka hati. Hujung bulan pembekal datang minta bayaran, stok nak kena tambah tapi duit tak cukup.
“Kemudian Ali pelik, kedai laku tapi duit mana pergi sebab semua dah habis dibelanja. Kita tak nak Petronas jadi macam itu.
“Kalau semua keuntungan dihabiskan, pelaburan berhenti, pengeluaran jatuh, hasil masa depan susut. Ini bukan jimat, ini makan masa depan,” katanya.

Beliau menegaskan, isu utama bukan sama ada Petronas mencatat keuntungan atau tidak, sebaliknya bagaimana kekayaan negara diurus agar kekal mampan untuk keperluan semasa dan masa depan.





Source link

OR

Scroll to Top