Kunjungan ke Klinik Kesihatan Bangi di Seksyen 3 kini lebih mudah dan selesa selepas ruang parkir yang dahulunya terhad kini tersedia dengan jumlah yang mencukupi untuk menampung kehadiran pelawat setiap hari.
Kemudahan itu disediakan hasil inisiatif kerajaan menerusi projek pembaikan klinik dan fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.
Usaha menaik taraf kemudahan bermula Julai hingga September lalu ternyata memberi kegembiraan kepada penduduk setempat khususnya pesakit serta ahli keluarga mereka yang menjadi pelawat klinik berkenaan.
Pesara swasta, Mohd Gaffar Abd Rahim, 68, dari Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, di sini gembira dan semakin selesa untuk datang ke klinik bagi mendapatkan rawatan dan bekalan ubat secara berkala di situ kerana kemudahan parkir yang disediakan.
“Selepas tamat perkhidmatan dengan bank, saya tak dapat lagi faedah perubatan syarikat jadi ada rakan cadang untuk datang ke sini untuk ambil ubat kawal tekanan darah tinggi dan kolesterol.
“Isteri saya juga turut mendapat rawatan di sini dan kami selesa berurusan di klinik ini memandangkan terdapat perubahan ketara dari segi kemudahan terutama parkir.
“Usaha ini bagus terutama buat warga emas kerana ramai (warga emas) dapatkan rawatan berjadual di sini malah saya sendiri datang dua bulan sekali,” katanya ketika ditemui Harian Metro.
Seorang lagi pelawat, Dr Abu Bakar Musa, 61, dari Seksyen 4, di sini berkata, secara keseluruhannya, perkhidmatan dan kemudahan disediakan di Klinik Kesihatan Bangi sangat baik walaupun ada lagi ruang untuk ditambahbaik.
Abu Bakar berkata, inisiatif kerajaan menyediakan kemudahan parkir buat pelawat misalnya, adalah satu usaha baik dalam memberi lebih keselesaan dan menampung kepadatan kenderaan yang datang dalam satu-satu masa.
“Perkhidmatan kesihatan di negara ini sebenarnya lebih baik berbanding di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).
“Terbaru parkir disediakan di sini (Klinik Kesihatan Bangi). Walaupun masih tak cukup tapi ia satu usaha baik.
“Cuma ruang parkir di dalam agak terhad dan tempat menurunkan penumpang yang kecil jadi jika dapat dinaik taraf pasti lebih baik.
“Tapi secara keseluruhan sangat selesa dengan adanya klinik kesihatan sebegini terutama di kawasan bandar,” katanya.
Suri rumah dan ibu dua anak, Emilia Farasha Hamzah turut memuji inisiatif kerajaan dalam menaik taraf Klinik Kesihatan Bangi supaya tidak ketinggalan seiring dengan peredaran masa.
“Sebagai seorang pelawat, saya merasakan semua fasiliti pada tahap selesa dan memuaskan.
“Alhamdulillah, parkir pun semakin bertambah jadi lebih mudah untuk kami sebagai pelawat meletakkan kenderaan,” katanya.
Sementara itu, eksekutif pembangunan, Ahmad Umar Asyraf Mohamed Yusoff, 33, dari Seksyen 4, di sini turut melihat perubahan positif terutama dari segi kemudahan parkir untuk pelawat.
“Alhamdulillah, daripada sudut fasiliti memang selesa, nampak semuanya okay berbanding dulu yang agak sesak dan padat.
“Saya teman isteri datang ke klinik untuk pemeriksaan anak kedua kami sejak awal tahun dan sebelum ini hantar serta ambil saja.
“Selepas semakin banyak ruang parkir disediakan lebih mudah untuk tolong isteri jadi terima kasih buat kerajaan yang beri peruntukan tambah baik Klinik Kesihatan Bangi.
“Alhamdulillah, ia membantu cuma bagi saya, Bangi memerlukan hospital sendiri kerana kepadatan di Hospital Serdang dan Hospital Kajang,” katanya.
Berdasarkan laporan terkini status pelaksanaan projek pembaikan klinik dan fasiliti daif 2024 yang dikeluarkan KKM, ia memberi tumpuan kepada 422 projek hasil usaha kerajaan melalui KKM dan Jabatan Kerja Raya sebagai agensi pelaksana berdasarkan peruntukan sebanyak RM150 juta yang diberi dalam Belanjawan 2024.
Ia merangkumi 337 projek pembaikan dan naik taraf manakala 85 lagi membabitkan kerja meroboh dan bina baru.
Setakat 20 September lalu, sebanyak 223 projek sudah siap, 198 sedang dalam proses pelaksanaan dan satu lagi belum bermula.
© New Straits Times Press (M) Bhd