Kuching City alih tumpuan kempen Piala Malaysia

Kuching City alih tumpuan kempen Piala Malaysia


sukan@metro.com.my

Kuching: Selepas mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas PDRM FC, skuad The Cats kini mengalihkan sepenuh tumpuan kepada cabaran lebih besar dalam saingan Piala Malaysia.

Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menegaskan walaupun gembira dengan keputusan itu, pasukan masih mempunyai beberapa aspek yang perlu diperbaiki, khususnya aspek penyudah.

“Kami memang merancang untuk mendapatkan gol awal dan pemain memulakan permainan dengan sangat baik. Kami cipta banyak peluang, tetapi gagal menyempurnakannya. Itu antara perkara yang perlu diperbaiki,” katanya.

Dalam masa sama, Aidil menjelaskan keputusan merehatkan beberapa tonggak utama adalah sebahagian daripada strategi penggiliran pemain bagi mengelakkan risiko kecederaan, termasuk membabitkan pemain seperti Haziq Nadzli dan Daniel Asri.

“Ini peluang untuk pemain lain mendapatkan minit permainan. Semua pemain perlu sentiasa bersedia kerana kita tidak tahu bila kecederaan atau masalah lain boleh berlaku,” ujarnya.

Mengulas persiapan menghadapi perlawanan penting menentang Selangor FC dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia pada 18 April ini, beliau menegaskan mempunyai masa seminggu untuk menilai barisan terbaik yang akan diturunkan.

“Ini situasi yang besar untuk pasukan seperti kami. Tekanan memang ada, tetapi kami perlu fokus satu perlawanan pada satu masa,” katanya.

Aidil turut menekankan kepentingan persediaan menyeluruh termasuk kemungkinan penentuan sepakan penalti, sambil menyifatkan setiap pemain perlu merebut peluang beraksi di pentas besar.

“Tidak semua pemain berpeluang sampai ke tahap ini. Jadi, apabila peluang itu datang, mereka perlu berikan segalanya, lebih-lebih lagi bermain di hadapan penyokong sendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top