Al Ahli berjaya menewaskan Al-Duhail untuk mara ke pusingan suku akhir. Foto: AFC
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan cabaran getir apabila dijadualkan menentang juara bertahan dari Arab Saudi, Al-Ahli Saudi pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Al-Ahli mengesahkan kemaraan selepas menundukkan wakil Qatar, Al-Duhail menerusi kemenangan dramatik awal pagi Selasa.
Perlawanan tersebut terpaksa diheret ke masa tambahan sebelum bintang sensasi, Riyad Mahrez muncul wira apabila meledak gol kemenangan menerusi sepakan percuma pada minit ke-117.
JDT yang sebelum ini mencipta sejarah tersendiri berjaya melangkah ke peringkat suku akhir ACLE buat kali pertama selepas skuad Harimau Selatan menewaskan kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima dengan agregat 3-2 pada pusingan 16 terbaik.
Berbekalkan momentum tersebut, JDT sudah pasti memasang tekad untuk mencipta satu lagi kejutan meskipun bakal berdepan pasukan yang dibarisi ramai pemain ternama dunia seperti Mahrez, Ivan Toney dan Franck Kessie.
Dalam masa sama, pasukan kendalian Xisco Muñoz itu telah melakukan persiapan rapi dan kini sudah tiba di Jeddah bagi menghadapi perlawanan penting tersebut.
Aksi suku akhir antara kedua-dua pasukan dijadual berlangsung di King Abdullah Sports City, Jeddah pada Jumaat, 17 April ini dengan sepak mula dijadualkan pada jam 10.45 malam.






