redzuan.muharam@hmetro.com.my
Cyberjaya: Gangguan perkhidmatan 2G dan 4G di sekitar Kuala Pilah baru-baru ini berpunca daripada daripada aktiviti vandalisme dan kecurian dekat sebuah menara komunikasi milik CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) di Bukit Pilah, Negeri Sembilan.
Punca itu dikenal pasti hasil siasatan awal Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menerima laporan daripada syarikat telekomunikasi berkenaan pada Sabtu lalu.
Akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu, gangguan berkenaan turut menjejaskan 13 menara komunikasi lain serta hampir 1,668 pengguna daripada pelbagai syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi di sekitar kawasan Kuala Pilah.
“Susulan itu, MCMC mengadakan lawatan tapak ke lokasi terjejas bersama pihak CelcomDigi dan mendapati beberapa peralatan komunikasi, termasuk peralatan seperti Radio Transport System (RTS) dan Baseband Unit (BBU) dicuri.
“Kejadian itu mengakibatkan gangguan perkhidmatan di kawasan berhampiran serta menjejaskan operasi menara komunikasi lain.
“Pihak syarikat sudah melaksanakan kerja pemulihan dengan
mengaktifkan semula menara komunikasi yang terjejas secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, kesemua 14 menara komunikasi kini sudah kembali beroperasi dan mula menyediakan perkhidmatan kepada pengguna.
Menurutnya, MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang menjejaskan infrastruktur komunikasi.
“Perbuatan vandalisme terhadap kemudahan telekomunikasi adalah kesalahan serius di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi 1 dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





