sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bintang Muay Thai dunia, Rodtang Jitmuangnon kini berdepan kemungkinan tindakan undang-undang apabila ONE Championship mengesahkan proses perundangan terhadapnya sudah dimulakan susulan dakwaan pelanggaran kontrak.
Dalam kenyataan rasmi organisasi seni bela diri global itu, ONE memaklumkan tindakan itu sedang dijalankan di tiga negara iaitu Singapura, Jepun dan Thailand.
Langkah berkenaan diambil selepas beberapa pelanggaran terhadap perjanjian kontrak yang dipersetujui oleh Rodtang sebelum ini.
“ONE komited terhadap ketelusan kepada peminat, atlet dan rakan strategik. Tindakan ini dibuat selepas beberapa kegagalan memenuhi komitmen kontrak,” menurut kenyataan itu.
Selain isu komitmen, ONE turut menyuarakan kebimbangan terhadap kenyataan atau maklumat yang didakwa boleh menimbulkan salah faham serta berpotensi berunsur fitnah.
Organisasi itu menegaskan mereka sebelum ini sudah cuba menyelesaikan perkara berkenaan secara baik, namun kegagalan mencapai penyelesaian mendorong tindakan lebih tegas diambil.
“Integriti kontrak adalah perkara yang sangat penting dalam organisasi ini dan kami akan melindungi kepentingan semua pihak dalam ekosistem kami,” katanya.
Ketika ini, siasatan serta semakan undang-undang masih berjalan dengan ONE bekerjasama rapat bersama pihak berkuasa di ketiga-tiga negara terbabit.
Terdahulu, Rodtang yang dikenali dengan gaya bertarung agresif dan daya tahan tinggi memaklumkan di media sosial bahawa beliau merancang untuk hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah di Bangkok pada 14 April.
Namun, sesi berkenaan ditangguhkan selepas rundingan antara kedua-dua pihak mula diadakan, dengan Rodtang memberi bayangan sidang media hanya akan diadakan sekiranya perbincangan gagal mencapai kata sepakat.
Dalam masa sama, situasi itu menimbulkan tanda tanya mengenai masa depan petarung sensasi itu, terutama menjelang aksi ulangan menentang Takeru Segawa pada 29 April ini.
Pertembungan itu dijadual berlangsung di ONE Samurai 1 di Tokyo bagi merebut gelaran interim flyweight kickboxing, namun perkembangan terkini ini berpotensi memberi kesan kepada persiapan serta fokus Rodtang menjelang pertarungan penting itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






