Pelakon, Shakilla Khoriri tampil menjelaskan isu wang belanja persekolahan sebanyak RM3 yang diberikan kepada anaknya, Ameena Sofia.
Kata Shakilla menerusi perkongsian di Instagram Story (IGS), anaknya itu enggan menggunakan wang saku yang diberi di sekolah memandangkan dia sudah menyediakan sarapan pagi yang mengenyangkan sebelum ke sekolah.
“Biar saya jelaskan isu duit belanja RM3 untuk Ameena. Sejak hari pertama sekolah, Ameena tidak pernah membeli atau mahu makan makanan yang dijual di sekolah.
“Jadi setiap pagi, saya sediakan sarapan yang mengenyangkan untuknya sebelum ke sekolah bukan sekadar roti atau biskut.
“Sebab itu, duit belanja tersebut selalunya dibawa pulang semula. Dia sendiri tidak tahu hendak membeli apa, malah kadang-kadang dia membeli sesuatu tetapi tidak dimakan,” katanya.

Tidak habis disitu, Shakilla mengakui mendidik Ameena untuk menabung, bahkan memuji sikap anaknya itu yang tidak boros dalam berbelanja.
“Saya juga mengajarnya supaya memasukkan duit belanja itu ke dalam tabung jika tidak digunakan. Ameena memang jenis yang tidak suka berbelanja sesuka hati kerana baginya makanan yang dibawa sudah mencukupi.
“Apabila saya mengatakan Ameena seorang anak yang baik dan menyenangkan, ini antara sebabnya. Dia bukan jenis yang suka membeli perkara yang tidak perlu,” kongsinya.
Enggan cara didikannya disalah tafsir oleh sesetengah pihak, Shakilla menegaskan, dirinya masih mampu untuk menyara anak perempuannya itu.
“Jika mahu memberi duit belanja yang lebih banyak sekalipun, saya mampu kerana saya bekerja untuknya.
“Namun, saya lebih kepada mengajar, bukan sehingga mengabaikan atau culas dalam tanggungjawab,” ujarnya.
Pelakon drama Adam dan Hawa itu berkata demikian selepas seorang individu mempersoalkan tindakannya memberi duit belanja buat Ameena sebanyak RM3, selain berpendapat jumlah tersebut tidak cukup untuk anak-anak berbelanja di sekolah.
Terdahulu, Shakilla meluahkan rasa kesal selepas mendakwa anaknya tidak diberikan duit belanja ke sekolah menerusi sebuah hantaran di Instagram.






