am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: Polis tidak menolak kemungkinan motif seorang lelaki warga emas melepaskan tembakan sehingga menyebabkan tiga individu maut di Taman Kota Jaya di sini, adalah disebabkan hutang peribadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, dalam kejadian jam 1.30 tengah hari tadi, suspek lelaki yang berusia 71 tahun berjaya ditahan pada jarak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.
Beliau berkata, suspek mempunyai lesen senjata api yang sah.
“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek warga tempatan itu kira-kira jam 2 petang.
“Kita juga berjaya membuat rampasan ke atas selaras senjata api iaitu shotgun buatan Benelli M/super dengan nombor siri M104817 yang dipercayai digunakan untuk menembak mangsa dalam kes ini.
“Semakan yang dibuat mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan mempunyai lesen senjata api yang sah iaitu nombor lesen, KTN/4753,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Ab Rahaman berkata, kejadian berlaku di sebuah restoran di daerah ini, yang mana dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 37 hingga 63 tahun maut di lokasi kejadian.
“Lesen senjata api ini dikeluarkan untuk menjaga musuh tanaman dan bukan tujuan lain. Suspek seorang pekebun dan mempunyai tanah pertanian yang melayakkannya memiliki senjata api.
“Mangsa dipercayai maut ditembak menggunakan shotgun itu.
“Setakat ini, motif pembunuhan masih dalam siasatan pihak polis. Walau bagaimanapun, berdasarkan siasatan awal, kejadian yang berlaku tidak mempunyai sebarang isu membabitkan elemen kongsi gelap dan unsur-unsur keganasan (terrorism).
“Kita tidak menolak kemungkinan bahawa motif pembunuhan berpunca daripada masalah hutang peribadi,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh dan permohonan reman ke atas suspek akan dipohon di Mahkamah Majistret Kota Tinggi esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd






