sukan@hmetro.com.my
Seremban: Persembahan mantap dipamerkan kontinjen Johor membolehkan mereka mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan selaku juara keseluruhan bagi kali ketiga berturut-turut Kejohanan Sanda King Terbuka Malaysia 2026 yang berlangsung di Dewan Chin Woo, Seremban, malam tadi.
Pasukan itu membawa pulang enam pingat emas, 10 perak dan lapan gangsa untuk merangkul trofi kejuaraan sekali gus mengenepikan pesaing terdekat, Selangor, yang menduduki tempat kedua dengan enam emas, enam perak serta satu pingat gangsa.
Manakala tempat ketiga milik kontinjen Sarawak dengan enam pingat emas dan masing-masing dua perak serta gangsa.
Dua atlet dari Selangor dan Negeri Sembilan iaitu Aaron Ngan Kong Fei, 17 dan Nur Atikah Mohd Rashid, masing-masing dinobatkan atlet terbaik kejohanan.
“Walaupun hanya mempertaruhkan beberapa atlet muda dan mereka yang akan beraksi pada Sukan Malaysia (Sukma), Ogos depan, namun kesemua mereka telah berjuang dengan semangat yang tinggi sehingga meraih pencapaian yang baik dalam kategori masing-masing.
“Saya puas hati dengan komitmen setiap atlet, malah tidak menyangka dapat mengekalkan kejuaraan bagi kali ketiga berturut-turut kerana pasukan lain seperti Selangor dan tuan rumah Negeri Sembilan ternyata memberikan saingan yang baik,” kata ketua jurulatih Johor, Chong Lui Meng ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah, malam tadi.
Lui Meng yakin kejayaan yang dicapai atlet negeri itu pada kejohanan kali ini akan menaikkan lagi semangat mereka terutama atlet yang akan berjuang di pentas SUKMA Selangor, Ogos depan.
“Saya berharap persembahan terbaik yang telah mereka pamerkan ini dapat diteruskan ketika SUKMA nanti sekali gus membantu kontinjen Johor untuk meraih kedudukan terbaik keseluruhan,” katanya.
Kejohanan anjuran Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) yang mempertandingkan dua acara iaitu sanda dan taolu itu disertai 200 atlet dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak selain wakil dari Singapura dan Filipina.
Presiden WFM, Datuk Chong Kim Fatt, berpuas hati dengan penganjuran kejohanan itu dan menyifatkan sebagai suatu pencapaian memberangsangkan bagi persatuan itu dalam usaha mengenal pasti atlet muda berbakat besar terutama bagi acara sanda.
“Kami sedang memberikan tumpuan untuk melahirkan seramai mungkin atlet sanda yang berprestasi tinggi serta mampu beraksi cemerlang di pentas kejohanan terbesar seperti Sukan SEA dan Sukan Asia.
“Daripada kejohanan ini kami dapati terdapat ramai atlet pelapis sanda yang berbakat dan boleh digilap untuk mereka menyerlah di pentas lebih besar,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang.
© New Straits Times Press (M) Bhd






