puterialia@hmetro.com.my
Misteri jejak Malique atau lebih dikenali sebagai ‘The General’ bagai terurai apabila penyanyi rap, Yonnyboii mendedahkan pengalaman berharga dapat bertemu secara bersemuka dengan rapper itu pada tahun lalu.
Yonny turut berkongsi kerjasama terbaharunya menerusi lagu Infiniti (Kami Up) sebagai projek ketiga kolaborasinya bersama penyanyi tersohor itu.
Yonny atau nama sebenar Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 28, berkata, projek mereka berjaya menghasilkan beberapa karya termasuk sebuah lagu yang masih belum dilancarkan kepada umum.
“Sebenarnya ini adalah kali ketiga kami bekerjasama dalam menghasilkan lagu. Sebelum ini, saya ada satu lagu bersama Malique iaitu Tanya Tuhan yang merupakan single saya bersama Malique.
“Untuk lagu Infiniti (Kami Up) yang kita sedang naikkan sekarang ini, ia adalah lagu ketiga saya bersama Malique,” katanya.
Mengimbas momen berharga itu, Yonny berkongsi pertemuan berkenaan bukan atas urusan rakaman lagu, sebaliknya hanya sekadar sesi santai di Qarma Studio milik Malique.
“Saya secara peribadi jumpa Malique sekali sahaja bukan untuk rakaman atau apa-apa, tetapi dia sendiri yang ajak berjumpa untuk kami berborak santai di studionya.
“Malique jemput saya untuk sesi berkenalan selepas kami menghasilkan lagu bersama. Memandangkan dia adalah individu yang saya sanjungi dan karyanya saya sudah dengar sejak kecil, sudah tentu saya rasa teruja apabila dapat bertemu dengan Malique.
“Apa yang boleh saya katakan, dia kelihatan sihat dan kacak sama seperti dahulu. Penampilannya masih sama seperti kita lihat dalam gambar-gambarnya sebelum ini,” katanya.
Di sebalik pelbagai nasihat diberikan oleh Malique, Yonny mendedahkan satu pesanan ringkas daripadanya yang menjadi pegangan utamanya dalam berkarya sehingga ke hari ini.
“Malique banyak beri nasihat, tetapi bagi saya satu pesanan yang paling saya ingat iaitu jangan dengar apa orang lain cakap. Biarkan apa sahaja orang mahu kata, kita buat sahaja kerja kita.
Walaupun nampak ringkas, tetapi ia sangat bermakna.
“Dalam industri muzik, kita ada banyak kepala dan terlalu banyak mulut yang mahu didengar kerana setiap orang mempunyai cita rasa berbeza,” katanya.
Tambah lagi, Malique berpesan, jika mahu buat lagu, buatlah lagu yang kita suka sahaja. Jangan buat lagu yang kita sendiri tidak suka tetapi orang lain suka, bimbang nanti akhirnya orang lain tetap tidak suka juga.
“Bermula daripada hari itu, saya banyak dengar kata-katanya. Saya buat sahaja apa yang saya mahu walaupun mungkin ada orang akan pelik dengan apa yang saya lakukan itu,” katanya.
Menurut Yonny, walaupun Malique seorang yang misteri, namun secara peribadi Yonny menyifatkan individu itu sebagai penyayang dan sangat jujur dalam berkata-kata.
“Pada pandangan saya, Malique mempunyai disiplin yang tinggi dan penuh dengan ilmu. Dia juga seorang yang penyayang dan sangat lantang apabila berkata-kata.
“Apa sahaja yang ada di fikirannya, dia akan cakap. Tetapi apa yang menariknya, setiap apa yang diperkatakan itu pasti ada isi yang berguna,” katanya.
Rahsia mengenai Malique bukan sekadar khabar angin apabila Yonny berkongsi wujud syarat ketat yang melarang sebarang perkongsian gambar atau butiran lokasi jika bertemu dengan penyanyi itu.
“Malique yang panggil saya untuk berjumpa. Memang tidak boleh ambil gambar dengan dia dan tidak boleh kongsi apa-apa maklumat seperti lokasi perjumpaan.
“Meskipun syaratnya agak ketat, tetapi dia sebenarnya sangat mesra, peramah dan banyak bercakap,” kongsinya.
Dalam pada itu, Yonny menyifatkan pertemuan terbabit sebagai satu rezeki buatnya apabila berpeluang menimba ilmu dan nasihat daripada figura senior yang amat berpengalaman dalam industri muzik.
“Saya rasa sangat bertuah dan anggap rezeki apabila saya dapat berjumpa serta belajar secara terus daripada Malique,” kongsinya.
Sementara itu, lagu Infiniti (Kami Up) yang dinyanyikan Yonny bersama Kidd Santhe dan Malique dihasilkan sempena ulang tahun kelapan PUBG Mobile.
© New Straits Times Press (M) Bhd






