Polis minta saksi kemalangan di PLUS tampil

Polis minta saksi kemalangan di PLUS tampil


PETALING JAYA: Saksi kejadian kemalangan maut melibatkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 407.1 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat sini pada Isnin lalu diminta tampil membantu siasatan.

Maklumat berhubung kejadian itu diterima polis kira-kira pukul 2.25 pagi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar pukul 2 pagi apabila sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu lelaki tempatan berusia 21 tahun hilang kawalan sebelum terbabas melanggar penghadang besi di sebelah kiri jalan.

“Kenderaan tersebut kemudian melanggar bahagian kiri sebuah lori jenis Volvo yang dipandu lelaki berusia 37 tahun dari arah Bukit Beruntung menghala ke Tapah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu, pemandu yang juga merupakan seorang peniaga tercampak ke tengah jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat,” ujarnya.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Khairul Salleh Abdull Rahman di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top