Nuha Bahrin Kembali Dengan ‘Malam-Malam’, Kolaborasi Istimewa Bersama Ezra Kong

Nuha Bahrin Kembali Dengan ‘Malam-Malam’, Kolaborasi Istimewa Bersama Ezra Kong


Penyanyi dan penulis lagu, Nuha Bahrin yang dikenali menerusi lagu hit ‘Casablanca’ tampil dengan single terbaharu berjudul Malam-Malam, hasil kolaborasi bersama komposer terkenal Ezra Kong di bawah projek kreatifnya, mimpi.

Ezra Kong yang dikenali sebagai antara komposer berpengaruh di Malaysia sering digelar memiliki sentuhan ‘Midas’ apabila kebanyakan hasil ciptaannya menjadi lagu popular dan meraih pelbagai anugerah.

Menerusi Malam-Malam, gabungan elemen bunyi Arabic dan Spanish disatukan dengan sentuhan pop Melayu moden, sekali gus mewujudkan suasana muzik yang tenang tetapi sarat emosi.

Lagu ini mengangkat tema kerinduan terhadap seseorang yang jauh, berpaksikan kenangan kecil yang pernah dikongsi bersama. Ia menggambarkan dua insan yang pernah melalui detik indah di bawah cahaya bulan, namun kini hanya tinggal memori.

Bulan dalam lagu ini menjadi simbol kepada waktu dan kenangan yang tidak mungkin berulang, sekali gus menampilkan pertembungan antara kebahagiaan dan kekosongan akibat perpisahan.

Single ini turut menandakan permulaan fasa baharu buat Ezra menerusi projek mimpi., sebuah ruang kreatif yang memberi kebebasan untuk menghasilkan karya lebih jujur.

“Projek mimpi. ini saya mulakan sebagai platform untuk semua karya saya selepas ini. Ia juga membuka ruang untuk saya bekerjasama dengan artis, label dan A&R bagi menghasilkan muzik yang lebih dekat dengan jiwa saya,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pendekatan dalam Malam-Malam berbeza daripada karya sebelum ini.

“Melalui lagu ini, saya cuba bereksperimen dari segi bunyi, susunan muzik dan lirik untuk cari keseimbangan antara identiti saya dan karakter artis yang menyanyikannya,” katanya.

Ezra turut berkongsi bahawa inspirasi lagu tersebut datang daripada kisah benar.

“Idea lagu ini muncul apabila saya mendengar cerita rakan-rakan yang bertugas sebagai anggota polis, yang terpaksa bekerja ketika orang lain menyambut raya. Rasa rindu itu saya olah menjadi elemen romantik untuk menggambarkan perasaan menunggu insan tersayang pulang. Bila digandingkan dengan suara Nuha, saya rasa lagu ini benar-benar menemui penyanyi yang tepat,” ujarnya.

Bagi Nuha, lagu ini membawa makna yang cukup peribadi termasuk kerinduan terhadap diri sendiri.

“Lagu ini buat saya teringat versi diri yang lama. Waktu malam selalunya buat saya banyak berfikir tentang kesilapan lalu dan rasa rindu kepada diri sendiri yang lebih yakin dan bebas. Kadang-kadang kita lupa untuk tidak terlalu memikirkan pandangan orang lain, dan saya sangat merindui perasaan itu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: #LaguXTRA: Nuha Bahrin Peminat Queen Bey! Sukar Buat Pilihan Lagu Lama & Baru?

Dalam menyampaikan emosi lagu, Nuha menekankan kejujuran dalam vokalnya.

“Saya cuba sampaikan rasa rindu itu dengan lebih jujur dan raw. Ada juga sedikit rasa tertanya-tanya, kenapa seseorang itu tiba-tiba hilang. Jadi saya gabungkan kelembutan dengan emosi supaya pendengar dapat benar-benar merasai kekosongan itu,” jelasnya.

Muzik video Malam-Malam turut menampilkan konsep visual puitis dan simbolik, mengisahkan seorang wanita yang masih terperangkap dalam kenangan cinta lama. Visual tersebut menggambarkan seolah-olah dua dunia wujud serentak, di mana watak lelaki sentiasa hadir tetapi tidak pernah benar-benar ada. Hakikat itu akhirnya memperlihatkan bahawa kehadiran tersebut hanyalah bayangan memori dan perasaan rindu yang belum terlerai.

Kolaborasi ini juga menjadi pengalaman bermakna buat Nuha yang kembali bekerjasama dengan Ezra bersama penulis Sufairah Mohd.

“Ini kali kedua saya bekerjasama dengan Ezra dan proses ini banyak membuka peluang untuk saya mencuba sesuatu yang baharu. Saya belajar untuk keluar dari zon selesa. Gabungan elemen Arabic, Spanish dan Melayu dalam lagu ini memang berani dan memberi inspirasi. Saya rasa bertuah dapat menyampaikan lagu ini,” katanya.

Dengan gabungan bunyi unik dan emosi mendalam, Malam-Malam diharapkan mampu menemani pendengar terutama pada waktu sunyi.

“Saya harap lagu ini dapat buat pendengar rasa mereka tidak keseorangan. Rasa rindu, sama ada kepada seseorang atau diri sendiri, adalah perkara yang sangat manusiawi. Jika kita merindui seseorang, itu bermaksud mereka pernah sangat bermakna dalam hidup kita dan perasaan itu tidak pernah sia-sia,” katanya.

Malam-Malam boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula 24 April 2026.



Source link

OR

Scroll to Top