Yamal dikritik tidak profesional

Yamal dikritik tidak profesional


Gambar dimuat naik Yamal di laman Instagramnya baru-baru ini.

BINTANG muda sensasi Barcelona, Lamine Yamal berdepan kecaman hebat yang menyifatkan kecederaan serius dialaminya sebagai berpunca daripada sikap tidak profesional.

Yamal disahkan bakal terlepas baki saingan musim ini selepas mengalami kecederaan hamstring ketika membantu Barcelona menewaskan Celta Vigo 1-0 di Camp Nou, baru-baru ini.

Bagaimanapun, kecederaan itu mengundang reaksi sinis daripada penyampai televisyen DSports, Juan Furlanich, yang mengaitkan insiden tersebut dengan gaya hidup pemain remaja berkenaan.

Furlanich membangkitkan hantaran tular Yamal di media sosial yang memaparkan dia sedang menikmati hidangan McDonald’s di dalam sebuah jet peribadi, hanya 48 jam sebelum perlawanan bermula.

“Sangat tidak masuk akal Lamine Yamal cedera hari ini hanya ketika mengambil sepakan penalti. Mari kita ketepikan unsur ironi atau jenaka, ini adalah realiti apabila dia cedera semasa menendang penalti.

“Seorang pemain bola sepak yang kurang 48 jam lalu secara berseloroh memakan makanan segera ketika tiba pada awal pagi dengan pesawat peribadi, hanya dua hari sebelum perlawanan.

“Saya percaya semua ini bukan kebetulan atau sekadar nasib malang. Ia adalah kesan daripada kemungkinan tidak berehat dengan cukup, tidak menjaga diri, dan mengambil risiko yang akhirnya membawa padah.

“Ini bukan gambar yang dicuri (paparazzi), dia sendiri yang bermegah tentang perkara itu (di media sosial),” kata Furlanich kepada Futbol Total.

Dalam aksi menentang Celta Vigo, Yamal terpaksa dikeluarkan pada minit ke-40 sejurus selepas menyempurnakan sepakan penalti apabila dia dilihat memegang bahagian belakang paha kirinya.

Kehilangan Yamal merupakan tamparan hebat buat skuad kendalian Barcelona memandangkan dia telah meledak 16 gol dan menghasilkan 11 bantuan gol dalam saingan La Liga musim ini.

Sementara itu, pihak pengurusan Barcelona dalam satu kenyataan rasmi mengesahkan pemain kebangsaan Sepanyol itu mengalami koyakan otot yang serius.

“Ujian perubatan mengesahkan Lamine Yamal mengalami kecederaan hamstring pada kaki kiri (otot biceps femoris).

“Pemain akan menjalani program pemulihan khas dan akan terlepas baki perlawanan musim ini. Namun, dia dijangka cergas sepenuhnya untuk saingan Piala Dunia akan datang,” jelas kenyataan itu.

 



Source link

OR

Scroll to Top