Dipantau pihak berkuasa, kami guna senjata api betul – Frank See

Dipantau pihak berkuasa, kami guna senjata api betul – Frank See

Dipantau pihak berkuasa, kami guna senjata api betul – Frank See


SELEPAS kejayaan PASKAL dan Air Force The Movie, pengarah, Frank See meneruskan air tangannya dalam naskhah genre aksi ketenteraan dengan sebuah filem yang lebih gila, Hunter Eleven: The Awaken  (Hunter 11). Naskah yang menelan belanja RM20 juta ini menggabungkan kemahiran dan bakat tiga negara iaitu Malaysia, Hong Kong dan Indonesia. 

Malah, Frank bakal menjadi pengarah pertama yang mempertemukan dua bintang aksi antarabangsa iaitu seni Silat, Yayan Ruhian dan ‘master’ generasi Shaolin, Shi Yan Neng dalam satu filem. Mengisi barisan pelakon utama ialah aktor tempatan yang meningkat naik, Sky Iskandar untuk bergandingan dalam filem aksi peperangan moden itu.

Jelasnya, Hunter 11 yang sedang menjalani penggambaran akan menampilkan kecekapan dan persembahan aksi yang mantap. Oleh itu, hasil perbincangan dengan pihak penerbit, FX HAMMERS Films Sdn. Bhd, mereka komited memberi adegan aksi luar biasa dengan menggunakan senjata api sebenar di set penggambaran seperti raifal tempur M4, platform AR15, pistol Glock serta Sig 226, selain submesingun MP5 yang sering digunakan oleh pasukan elit dunia.

Malah, mereka juga turut menggunakan aset seperti bazoka AT4 serta raifal hendap M107 (M82A2), bagi memberikan impak sinematik lebih nyata. 

“Ramai orang guna senjata prop atas kekangan bajet dan isu lain. Tapi dalam filem ini, kami guna senjata sebenar dan peluru yang dipanggill ‘blank fire’. Bagi saya apa yang penting ialah kebolehan kita untuk dapatkan rakaman api keluar dari muncung senapang dan reaksi penonton ketika melihat adegan itu.

“Semuanya memainkan peranan, oleh itu cara tembakan kena betul, letupan, bunyi akan beri kesan kepada lakonan. Walau awak nampak yakin waktu menembak, tapi apabila pakai pistol mainan tetap tidak nampak nyata. 

“Sebab itu, saya hantar pelakon ke lapang sasar untuk buat latihan menembak menggunakan peluru hidup (live round) selama empat hari memandangkan ada yang tak pernah menembak sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Studio Seri Iskandar, baru-baru ini.

Menyedari risiko yang boleh berlaku di set penggambaran, Frank berkata gerak geri mereka di set turut dipantau pasukan keselamatan dan pakar senjata bertauliah serta wakil daripada Bukit Aman agar semuanya menggunakan prosedur operasi standard yang ditetapkan. 

“Kami tidak pakai peluru hidup kerana ambil ikhtibar juga daripada insiden teknikal di Hollywood di mana ada yang terbunuh akibat kesilapan di set penggambaran. Kami pastikan semua pakar sentiasa berada di sisi pelakon untuk pemantauan juga bagi membantu membezakan mana satu senjata betul dan prop kerana ia kelihatan serupa,” tambahnya. 

Mengulas mengenai cabaran untuk mendapat persetujuan Yayan Ruhian dan ‘master’ generasi Shaolin, Shi Yan Neng, Frank mengakui ia bukan sesuatu yang mudah kerana pihaknya perlu menjelaskan matlamat filem ini dibuat dan bagaimana ilmu bela diri dipersembahkan dalam naskhah ini.

“Ini bukan filem aksi bela diri yang tipikal, jadi saya memang kena buat kajian bagaimana nak sesuaikan aksi seni bela diri mereka dalam filem saya mengenai peperangan dunia moden.

“Memang kalau difikir, dua aksi mereka berbeza, tapi sebenarnya jika kita betul-betul faham dunia taktikal, silat sebenarnya sudah menjadi kemahiran tempur pasukan khas Malaysia dan seluruh dunia. Tapi kita tidak panggil cara itu sebagai Silat.

“Begitu juga ilmu aksi Shaolin. Kita tak gunakan terlalu banyak aksi Shaolin yang besar dalam filem kerana itu akan nampak terlalu ‘wayang’. Kita kawal dan reka pergerakan agar bersesuaian. 

“Mungkin anda tak tahu, Shi Yan Neng menduduki kedudukan ranking Shaolin sangat tinggi di China. Saya meluangkan masa yang agak lama bercakap dengan mereka berdua untuk mengubah seni bela diri tradisional mereka ke dalam kemahiran serangan dan pertahanan diri pasukan khas moden. Mereka menyukainya dan bersetuju terlibat dalam filem ini,” katanya.

Hunter 11 mengisahkan siasatan pihak perisikan tentera terhadap kehilangan misteri beberapa anggota elit operasi khas. Penggambaran kini menghampiri fasa akhir dengan babak awal dirakam di Pulau Langkawi, manakala adegan aksi utama dijalankan di Kuala Lumpur serta Johor.

Filem itu akan diedarkan secara rasmi oleh GSC Movies dan dijangka menemui penonton di pawagam seluruh negara pada suku pertama 2027. 



Source link

OR

Scroll to Top