JKDM tumpaskan penjualan rokok, minuman keras tidak sah

JKDM tumpaskan penjualan rokok, minuman keras tidak sah

JKDM tumpaskan penjualan rokok, minuman keras tidak sah


am@hmetro.com.my

Seremban: Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan berjaya menumpaskan penjualan rokok dan minuman keras tidak sah sejak Januari hingga Mac lalu dengan nilai cukai kira-kira RM1.7 juta.

Pengarahnya, Muhammad Ilyas Queek Abdullah berkata, kejayaan itu hasil serbuan dan pemeriksaan di 38 premis sepanjang tempoh berkenaan.

“Pada Januari hingga Mac, Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Negeri Sembilan melakukan pemeriksaan ke atas 38

outlet di sekitar kawasan Negeri Sembilan.

“Hasil daripada pemeriksaan di semua outlet berkenaan, 28 outlet didapati menjual rokok dan minuman keras yang disyaki sebagai barang larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, rampasan membabitkan 96,879 paket atau 1,752,353 batang rokok pelbagai jenama dan saiz, serta 26,375 tin/botol bersamaan 12,331.34 liter minuman keras pelbagai jenama dan saiz.

“Rokok adalah barang larangan import yang mana pengimportannya tertakluk kepada permit import di bawah Butiran I, Bahagian II, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Pengimportan minuman keras juga tertakluk kepada permit import di bawah Butiran III, Bahagian II, Jadual Ketiga Perintah, Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.

Katanya, kesemua barang kes disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk duti/cukai yang direkodkan dianggarkan sebanyak RM2.1 juta.

“Secara keseluruhannya juga, seramai 26 individu warga tempatan sedang disoal siasat bersabit kes-kes ini dan dua warga asing berjaya dituduh di mahkamah,” katanya.

Mengulas berkenaan modus operandi beliau berkata, rokok dan minuman keras yang tidak sah dijual secara tersembunyi pemilik atau pekerja outlet.

“Ia diedarkan secara senyap-senyap kepada pelanggan tetap dengan harga yang jauh lebih murah berbanding dengan harga yang ditetapkan kerajaan Malaysia di pasaran.

“Kesemua kes yang diperolehi sedang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top