KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sembilan akan terus berfungsi seperti biasa susulan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir agar pentadbiran negeri itu diteruskan sementara proses berkaitan diselesaikan mengikut lunas undang-undang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu selaras dengan nasihat tuanku supaya Menteri Besar meneruskan tugas demi memastikan kepentingan negeri dan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Katanya, tiada keperluan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ketika ini dan kedudukan Menteri Besar kekal seperti biasa.
“Semalam, saya menghadap tuanku dan berterima kasih atas pertimbangan baginda supaya menteri besar meneruskan tugas demi kepentingan rakyat.
“Setakat ini, tidak timbul isu pembubaran. Apa yang dibincangkan adalah pandangan serta nasihat tuanku supaya pentadbiran diteruskan sementara proses lain berjalanz
“Dalam hal ini, Menteri Besar menerima nasihat tuanku dan akan menjalankan tugas sehingga isu-isu berkait dengan Perlembagaan Negeri itu diluruskan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Temu Anwar dan Peluncuran Bangunan Baharu Universiti UCSI, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kemelut yang berlaku ketika ini melibatkan tafsiran undang-undang negeri yang turut berkait dengan peranan pihak dalam sistem pentadbiran Negeri Sembilan.
“Masalah ini bukan berpunca daripada Perlembagaan Negeri atau Menteri Besar. Ia timbul kerana ada penafsiran undang-undang negeri yang juga melibatkan Undang dan Yang di-Pertuan. Jadi tentunya itu bukan di bawah bidang kuasa kita,” katanya.
Beliau berkata, sebarang keputusan lanjut berhubung kedudukan Menteri Besar tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana ia melibatkan sistem perundangan negeri yang perlu dihormati.
“Pelantikan Menteri Besar itu bersama empat Undang. Kalau kita ambil keputusan pelantikan itu dengan empat Undang, pengunduran pun begitu juga.
“Jadi ia tidak semudah yang dibayangkan. Sebab itu bagi saya, jaga keharmonian negara, bukan masa untuk berebut dan meningkatkan ketegangan,” katanya.-UTUSAN.






