Bangkok: Kerajaan Thailand mempertimbangkan untuk mengembalikan caj keluar negara sebanyak 1,000 baht (kira-kira RM121) bagi rakyatnya yang melancong ke luar negara, lapor The Nation.
Hasil kutipan itu akan digunakan untuk menyokong program subsidi pelancongan domestik Tiew Khon La Krueng atau inisiatif Half-Half Thai Travel.
Kementerian Pelancongan dan Sukan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi menguatkuasakan semula dekri cukai perjalanan luar negara 1983.
Langkah itu akan membolehkan kerajaan mengutip caj keluar negara sebanyak 1,000 baht (kira-kira RM121) bagi setiap individu untuk setiap perjalanan.
Menteri Pelancongan dan Sukan, Surasak Phancharoenworakul berkata, jika dilaksanakan, langkah itu boleh menjana kira-kira 10 bilion baht (kira-kira RM1.21 juta) setahun kepada kerajaan.
Beliau berkata, dana itu boleh digunakan untuk membiayai 10 juta kelayakan di bawah skim Tiew Khon La Krueng.
“Dana itu juga bertujuan merangsang pelancongan domestik dan mengawal aliran keluar modal akibat perjalanan ke luar negara.
“Caj itu hanya akan dikenakan kepada rakyat Thailand dan bukan pelancong asing, bagi mengelakkan kebimbangan caj berganda untuk kemasukan dan keluar negara,” katanya.
Katanya, langkah itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap keputusan rakyat Thailand untuk melancong ke luar negara.
Beliau berkata, langkah itu boleh dilaksanakan dengan cepat jika diluluskan Kabinet kerana asas perundangan sudah wujud.
Thailand sebelum ini pernah mengenakan cukai perjalanan luar negara sebanyak 500 baht (kira-kira RM60) sebelum ia dimansuhkan.
Sementara itu, presiden Persatuan Ejen Pelancongan Thailand, Thanapol Cheewarattanaporn menyuarakan kebimbangan cadangan itu boleh menjejaskan jumlah perjalanan keluar rakyat Thailand.
Beliau berkata, ia juga berpotensi mempengaruhi kapasiti penerbangan antarabangsa pada masa hadapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






