BEKAS jurulatih pasukan utama Manchester United telah mencadangkan bahawa Pep Guardiola satu-satunya individu yang mampu mengubah nasib kelab tersebut.
Masa depan Erik Ten Hag masih menjadi tanda tanya selepas permulaan buruk musim ini untuk kelab itu apabila United tanpa kemenangan dalam lima perlawanan.
Walaupun turut mengharungi tiga perlawanan tanpa jaringan, Ten Hag terus mendapat sokongan pengurusan United untuk kekal sebagai pengurus selepas memenangi Piala FA musim lalu.
Individu seperti Thomas Tuchel, Graham Potter dan pembantu semasa Ruud van Nistelrooy telah dikaitkan menggantikan Ten Hag, namun pengendali kelahiran Belanda itu masih diberikan peluang sehingga selepas rehat antarabangsa untuk membuktikan kemampuannya.
Bagaimanapun, Benni McCarthy yang menghabiskan dua musim sebagai jurulatih di United sebelum meninggalkan kelab itu pada penghujung musim lalu mendakwa tiada siapa yang akan melakukan kerja yang lebih baik daripada Ten Hag selain pengendali Manchester City, Pep Guardiola.
Bercakap kepada SuperSport, McCarthy berkata, dia memahami kesukaran dihadapi Ten Hag dan menyifatkan pengendali United itu adalah seorang pengurus yang sentiasa bekerja keras.
“Apabila anda melakukan banyak kerja, anda menjangkakan semuanya berjalan lancar, tetapi itulah sebabnya saya mengatakan ada sesuatu (yang tidak betul berlaku).
“Orang sentiasa mencadangkan seperti menggantikan jurulatih – dengan siapa anda menggantikannya? Siapa lagi yang lebih baik daripada apa yang mereka ada?
“Anda tidak akan mendapat ramai pengurus (yang bagus), melainkan Pep (Guardiola) memutuskan untuk keluar dari City (menyertai United). Tetapi, selain itu saya tidak nampak calon lain lebih baik daripada Ten Hag,” katanya.
Ten Hag memberikan penamat Liga Perdana Inggeris (EPL) paling teruk buat United tahun lalu di kedudukan kelapan dan telah membawa mereka ke permulaan terburuk mereka sepanjang musim ini.
United hanya memenangi dua daripada tujuh perlawanan EPL musim ini, manakala mereka juga seri dua kali dalam Liga Europa.