am@hmetro.com.my
George Town: Seorang lelaki berusia 42 tahun meninggal dunia akibat strok haba selepas menyertai acara larian sejauh 30 kilometer, di sini.
Insiden terbabit adalah kematian pertama berkaitan cuaca di Pulau Pinang bagi tahun ini.
Jabatan Kesihatan Pulau Pinang memaklumkan kes itu dilaporkan pada 26 April lalu selepas mangsa rebah berhampiran garisan penamat acara berkenaan sehari sebelumnya.
“Mangsa, seorang rakyat Malaysia, memulakan perlumbaan pada jam 6.30 pagi, 25 April. Laluan perlumbaan membabitkan kawasan berbukit serta trek hutan sekitar George Town.
“Kira-kira jam 4 petang, mangsa ditemui tidak sedarkan diri berhampiran titik penamat. Dia menerima rawatan kecemasan di lokasi sebelum dikejarkan ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Pulau Pinang dalam keadaan kritikal,” menurut kenyataan itu.
Mangsa kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) namun disahkan meninggal dunia jam 2.08 pagi, pada 26 April.
“Punca kematian disebabkan strok haba dengan komplikasi rhabdomyolysis atau kerosakan ototserta kegagalan pelbagai organ,” katanya.
Jabatan itu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Sehubungan kejadian itu, jabatan berkenaan menggesa orang ramai, khususnya yang melakukan aktiviti luar atau lasak, supaya peka terhadap tahap kesihatan serta keadaan cuaca semasa.
“Individu dinasihatkan supaya memastikan tubuh kekal hidrat dan menghentikan aktiviti serta-merta jika mengalami tanda awal keletihan haba seperti pening, loya atau kekejangan otot.
“Antara langkah pencegahan ketika cuaca panas ialah mengelakkan pendedahan berpanjangan di luar, kerap minum air, mengehadkan aktiviti fizikal lasak serta mengambil langkah perlindungan diri seperti topi, payung dan pakaian ringan.
“Perhatian tambahan juga perlu diberikan kepada golongan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak, warga emas dan individu yang menghidap penyakit kronik,” katanya.
Orang ramai turut dinasihatkan mendapatkan rawatan perubatan segera sekiranya mengalami simptom berkaitan haba.
© New Straits Times Press (M) Bhd






