Adakah Trump akan 'langgar' lampu merah Kongres?

Adakah Trump akan 'langgar' lampu merah Kongres?


Washington: Presiden Donald Trump berdepan detik penentuan dalam konflik dengan Iran apabila tempoh 60 hari di bawah Resolusi Kuasa Perang 1973, tamat pada Jumaat lalu, lapor CBS News.

Resolusi berkenaan mewajibkan Presiden menarik balik pasukan tentera daripada kancah permusuhan sekiranya tiada kebenaran daripada Kongres selepas tempoh 60 hari.

Trump kini di bawah tekanan untuk membuktikan sama ada beliau memerlukan kelulusan rasmi bagi meneruskan tindakan ketenteraan itu.

Tarikh akhir itu dijangka mencetuskan pertembungan sengit dengan anggota Republikan di Kongres yang sebelum ini cenderung menyokong Trump. Namun, sokongan itu mula goyah susulan tempoh konflik yang berlarutan melebihi jangkaan tanpa penyelesaian muktamad.

Jurucakap Rumah Putih, Anna Kelly menegaskan bahawa Trump sentiasa telus sejak Operasi Epic Fury bermula.

Beliau berkata, pihak pentadbiran menyediakan lebih 30 taklimat dwipartisan kepada anggota Kongres bagi memastikan mereka mengikuti perkembangan terkini.

Namun, Trump menegaskan beliau tidak perlu mendapatkan kelulusan Kongres untuk meneruskan operasi itu dengan berpendapat Resolusi Kuasa Perang 1973 jarang dipatuhi oleh presiden terdahulu, dan menyifatkannya sebagai tidak berperlembagaan.

Situasi menjadi lebih rumit apabila timbul perdebatan sama ada tempoh 60 hari itu masih berterusan atau terhenti semasa gencatan senjata sejak 8 April lalu.

Menurut CBS News, presiden terdahulu sering mengelak kekangan undang-undang ini termasuk pentadbiran Barack Obama ketika campur tangan AS di Libya pada 2011, dan kempen pengeboman Bill Clinton di Kosovo pada 1999.

Namun, tiada usaha Kongres untuk menamatkan operasi ketenteraan melalui resolusi itu pernah berjaya.

Beberapa senator Republikan seperti John Curtis dan Josh Hawley mula mendesak supaya strategi keluar yang jelas dirangka.

Curtis menegaskan beliau tidak akan menyokong tindakan ketenteraan yang melebihi tempoh 60 hari tanpa kelulusan Kongres, manakala Hawley pula berharap konflik itu dapat ditamatkan secepat mungkin.

Speake Dewan Perwakilan, Mike Johnson pula berpendapat Kongres tidak perlu campur tangan kerana AS ketika ini tidak berada dalam keadaan perang kinetik. Beliau juga enggan mendahului pentadbiran di tengah-tengah rundingan sensitif yang masih berlangsung.

Tanpa sebarang resolusi jelas, tekanan terhadap Trump berhubung perang Iran dijangka terus memuncak apabila tempoh 60 hari itu kini berakhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top