LEGENDA Manchester United, Roy Keane mengakui beliau masih belum benar-benar kagum dengan kualiti yang dimiliki Kobbie Mainoo, meskipun pemain muda itu muncul wira ketika membantu pasukan menewaskan Liverpool pada Ahad.
Bekas kapten Red Devils itu berpandangan, masih terdapat banyak perkara yang perlu diperbaiki oleh pemain tengah berkenaan sebelum dia boleh diangkat sebagai pemain bertaraf elit.
Walaupun jaringan kemenangan Mainoo dalam aksi dramatik 3-2 ke atas seteru, Liverpool itu sudah cukup untuk menjamin slot Liga Juara-Juara buat United musim depan, Keane tetap dengan pendirian skeptikalnya.
Bercakap kepada Sky Sports, Keane memberikan penilaian jujur dan ‘pedas’ mengenai perkembangan pemain antarabangsa England itu.
“Saya masih belum yakin dengannya. Saya fikir dia pemain muda yang sangat bagus, tetapi dia masih ‘budak’ lagi dan baru bermain sekitar 70 perlawanan pasukan utama.
“Dia memang sudah terlibat dengan skuad England, tetapi dia tetap belum meyakinkan saya. Saya harap dia dapat (bermain secara tetap) lagi tahun depan.
“Saya mungkin seorang pengkritik yang keras terhadap pemain tengah, malah saya sangat kritikal terhadap diri saya sendiri dahulu. Saya masih rasa budak ini perlu melakukan lebih banyak lagi.
“Adakah dia berpeluang? Sudah tentu, dia masih dalam proses belajar,” katanya.
Dalam pada itu, Keane turut mempersoalkan sama ada graduan akademi United itu mempunyai aspek kepantasan dan fizikal (athleticism) yang diperlukan untuk mengemudi jentera tengah moden, terutamanya dalam situasi transisi yang berintensiti tinggi.
“Satu-satunya masalah ialah, apabila orang bercakap tentang adakah dia cukup meledak, bolehkah anda perbaiki perkara itu jika anda sememangnya tidak pantas sejak awal?” soal Keane.
Keane turut memerhatikan bahawa tempoh masa Mainoo diketepikan daripada kesebelasan utama di bawah kendalian Ruben Amorim sebelum ini sebenarnya memberi manfaat jangka panjang buatnya.
Selepas mencuri tumpuan dan dipanggil ke skuad England, Mainoo terpaksa akur menjadi penonton di bangku simpanan sebelum kembali menemui rentaknya semula di bawah bimbingan Michael Carrick.
“Enam bulan terakhir ini adalah tempoh yang baik untuknya. Bagi pemain muda di kelab besar, dia muncul dan mendapat semua tajuk utama berita, beraksi baik dan kemudian dipanggil England.
“Beberapa bulan lalu, orang bercakap tentang kemungkinan dia dipinjamkan keluar, tetapi saya selalu katakan bahawa kadangkala anda perlu duduk, belajar, dan memerhati bagaimana pasukan serta permainan itu berfungsi,” jelas Keane.





