'Saya hanya terlewat beberapa minit, sebelum lihat Nur Aini Umairah terbaring' – Ibu

'Saya hanya terlewat beberapa minit, sebelum lihat Nur Aini Umairah terbaring' – Ibu


am@hmetro.com.my

Batu Pahat: “Saya terlewat hanya beberapa minit sebelum melihat anak terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri,” kata Asmilah Tukiran, 37, ibu kepada murid Tahun Dua yang menemui ajal selepas dilanggar van di hadapan sekolahnya tengah hari tadi.

Asmilah berkata, kelewatan itu disebabkan kerana perlu menyiapkan anak bongsunya, Ahmad Sufi Mohd Fareez, 5, yang baru pulang dari pra sekolah tidak jauh dari rumahnya pada jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, pada ketika itu, dia memandikan serta menukarkan pakaian anak bongsunya sebelum keluar semula dari rumah untuk mengambil Nur Aini Umairah, 8, kira-kira 10 minit kemudian.

“Apabila saya tiba di hadapan pintu pagar sekolahnya, saya ternampak orang ramai berkerumun. Hati saya pada ketika itu tertanya-tanya siapa yang mereka kerumun.

“Saya terdengar ada murid lain bercakap dan menyebut nama ‘Aini’. Saya terus berjumpa guru untuk bertanyakan siapa yang sedang terbaring kaku.

“Bila cikgu memberitahu murid itu adalah anak saya, badan saya terus lemah. Saya tidak sanggup melihat jenazahnya kerana keadaan sangat parah,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), hari ini.

Menurut Asmilah lagi, pada hari sebelumnya, dia sentiasa mengingatkan Nur Aini Umairah supaya menunggunya di dalam pagar sekolah setiap kali sesi persekolahan tamat.

“Biasanya bila saya tiba, barulah Nur Aini Umairah keluar dari pagar sekolah. Tapi pada hari kejadian, saya tidak tahu kenapa Nur Aini Umairah berada di luar pagar dan ada kemungkinan dia mahu membeli sesuatu,” katanya.

Dalam pada itu, Asmilah mengakui dia masih belum kuat untuk melalui ujian ini memandangkan baru setahun kehilangan dua insan tersayang iaitu ibu dan neneknya pada Januari tahun lalu.

“Kesedihan lalu belum terubat. Ibu saya Allahyarham Saonah Kasmi, 58, meninggal dunia dua jam selepas nenek, Bayah Sadiran, 84.

“Ibu waktu itu datang menziarahi nenek meninggal dunia pada jam 6.45 petang, sebelum dia sendiri menyusul kira-kira dua jam kemudian.

“Hari ini, saya sekali lagi diuji. Inilah dugaan saya sedang lalui, jadi saya perlu menguatkan diri supaya anak-anak dapat meneruskan kehidupan pada masa akan datang,” katanya.

Linangan air mata iringi jenazah Nur Aini Umairah, ibu pengsan beberapa kali

‘Saya tidak boleh bayangkan keadaan adik Umairah, teringat anak sendiri’

Murid maut dilanggar van ketika pulang dari sekolah

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top