Jenama Chery sekali lagi jadi perhatian selepas memperkenalkan sedan konsep baharu mereka, Arrizo S di Beijing Auto Show 2026. Tetapi kali ini bukan sebab teknologi atau prestasi semata-mata, sebaliknya kerana rupa kereta itu yang terlalu mirip dengan model daripada Audi, terutamanya Audi A7 dan RS7.
Menurut laporan, Arrizo S merupakan sedan baharu yang diletakkan lebih tinggi dalam keluarga Arrizo. Chery menyasarkan segmen eksekutif dengan memberi fokus kepada prestasi dan teknologi lebih premium berbanding model Arrizo sedia ada.
Dari segi rekaan luaran, sukar untuk menafikan pengaruh Audi. Rekaan bahagian depan menggunakan gril heksagon besar bersama lampu utama tirus dan agresif, sangat mengingatkan kepada bahasa rekaan Audi moden yang menggunakan rekaan Single Frame Grille yang digunakan pada model RS6 dan RS7

Rekaan sisi pula menggunakan gaya fastback coupe sama seperti Audi A7/A5, manakala rekaan belakang menampilkan lampu penuh melintang serta bampar sporty dengan diffuser dan empat muncung ekzos mirip seperti rekaan A7.
Ramai netizen menyedari persamaan tersebut dan ada yang mengaku mereka menyangkakan itu ialah model Audi baharu sebelum membaca tajuk artikel apatah lagi sedan ini mengenakan rim 19 inci
Namun begitu, Arrizo S bukan sekadar “copy design” semata-mata. Chery turut menyumbat enjin 2.0-liter turbocharged yang menghasilkan 261 PS dan 400 Nm tork. Output itu meletakkannya dalam kategori sedan prestasi yang agak serius untuk pasaran China.

Walaupun transmisi belum diumumkan secara rasmi, laporan menyebut kemungkinan besar ia akan menggunakan gearbox automatik 8-kelajuan buatan Chery sendiri. Di bahagian dalaman pula, elemen yang menyerupai Audi seakan berhenti setakat luaran sahaja.
Arrizo S menggunakan susun atur kabin tipikal sedan moden China masa kini, dengan kluster meter digital dipadankan bersama skrin infotainmen besar di tengah. Stereng dua jejari dengan butang kawalan terbina dalam berada di hadapan pemandu, manakala konsol tengah masih mengekalkan beberapa butang fizikal serta tombol putar untuk kawalan tertentu.
Kereta ini juga dilengkapi sistem bantuan pemanduan Falcon ADAS milik Chery. Sistem itu direka untuk membantu pemanduan bandar, lebuh raya dan parkir automatik, selari dengan trend pengeluar China yang kini berlumba-lumba menghasilkan teknologi pemanduan pintar.

Apa yang menarik ialah ini bukan kali pertama Chery dikaitkan dengan isu rekaan yang hampir sama dengan jenama lain. Dalam sejarah syarikat itu sendiri, mereka pernah berdepan tindakan undang-undang daripada General Motors pada era awal 2000-an kerana model Chery QQ yang didakwa terlalu menyerupai Daewoo Matiz.
Walaupun begitu, Chery sekarang berada dalam fasa sangat agresif dari segi perkembangan global. Mereka kini antara pengeluar kereta China terbesar, dengan eksport yang berkembang pesat ke pelbagai negara termasuk Malaysia.
Setakat ini, Arrizo S masih dipersembahkan sebagai konsep, tetapi laporan menyebut versi produksi dijangka dilancarkan sekitar November 2026 dengan harga permulaan RM 57,000 sehingga RM 86,000.






