Dewan di-Raja Selangor tampil menyangkal dakwaan bahawa Sultan Sharafuddin Idris Shah mempunyai kepentingan politik ketika bertitah atau memberi nasihat kepada kerajaan negeri.
Dewan di-Raja perbetul persepsi
Menurut kenyataan itu, baginda juga tidak mencampuri urusan pentadbiran negeri, sebaliknya bertindak selaras dengan peranan dalam sistem Raja Berperlembagaan termasuk memberi nasihat kepada kerajaan negeri.
“Ahli-ahli Dewan di-Raja ingin membetulkan persepsi salah dan menegaskan titah Sultan Selangor adalah selari dengan peranan seorang raja di dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan.
“Titah adalah penggunaan ‘bahasa istana’ untuk ucapan seorang raja atau sultan yang bermaksud nasihat dalam bahasa harian. Titah baginda adalah bagi memastikan kerajaan negeri bertepatan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam pemerintahannya,” katanya.
Pandangan dan nasihat baginda berasaskan kepentingan rakyat
Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa Sultan Selangor mempunyai hak untuk diberi sembah maklum oleh Menteri Besar dalam urusan pentadbiran negeri sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan.
Selain itu, pandangan dan nasihat baginda adalah berasaskan kepentingan rakyat tanpa dipengaruhi unsur politik, sekali gus memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan penuh tanggungjawab.

April lalu, Sultan Selangor bertitah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dengan memberi teguran berhubung isu banjir serta larangan pembinaan ladang babi yang boleh memberi kesan kepada penduduk dan alam sekitar.
“Aduan-aduan yang disampaikan kepada baginda oleh pengadu bukan surat layang, kerana pengadu menyertakan nama, alamat dan nombor telefon bagi membuktikan mereka benar-benar terdesak mahukan baginda menegur kerajaan negeri,” ujarnya.
Dalam masa sama, baginda turut berperanan sebagai semak dan imbang terhadap pihak eksekutif bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa terpelihara.






