Aaron-Khai Xing juara remaja dunia, tamat kemarau 13 tahun

Aaron-Khai Xing juara remaja dunia, tamat kemarau 13 tahun


SELEPAS menunggu lebih sedekad, Malaysia akhirnya meraih semula tempat di puncak podium dalam kategori beregu lelaki di Kejohanan Badminton Remaja Dunia (WJC) 2024, berkat kemenangan sensasi Aaron Tai-Kang Khai Xing di Nanchang, China, pada Ahad.

Sebagai pilihan pertama kejohanan, Aaron-Khai Xing mencetak nama sebagai juara remaja dunia selepas mengharungi pertarungan rubber set yang mendebarkan selama 65 minit menentang pasangan tuan rumah dan pilihan kedua Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi di Pusat Sukan Antarabangsa Nanchang.

Selepas ketinggalan 1-8 pada set pertama, Aaron-Khai Xing mencipta kebangkitan menakjubkan dengan kemenangan 21-18 dan keadaan menjadi sukar bagi mereka pada set kedua apabila tewas 15-21.

Namun, mereka akhirnya membawa pulang gelaran dengan kemenangan 21-18 dalam set penentuan.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memiliki juara dunia remaja dalam acara beregu lelaki adalah menerusi gandingan Nelson Heg-Teo Ee Yi pada edisi 2011 di Taoyuan, Taiwan.

Aaron, 17, meluahkan rasa lega setelah menebus kekecewaan tahun lalu apabila beliau dan bekas pasangannya Bryan Goonting hanya mampu meraih gangsa setelah tewas kepada pasangan Taiwan Lai Po Yu dan Tsai Fu Cheng 18-21, 21-15, 14-21 di separuh akhir.

“Rasa seperti mimpi menjadi kenyataan (menang gelaran WJC). Kami merasakan tekanan di set kedua tetapi kami tidak berputus asa dan akhirnya kami berjaya,” katanya dalam rakaman audio yang dikongsi oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF)kepada media.

Malangnya tiada pengakhiran manis untuk beregu wanita remaja negara Zi Yu-Dania Sofea Zaidi apabila mereka gagal menentang pilihan keempat dari Jepun Ririna Hiramoto-Aya Tamaki 17-21, 17-21 di pentas final.

Walaupun tewas, pasangan bukan pilihan itu layak diberi pujian atas pencapaian cemerlang mereka dalam kejohanan besar pertama termasuk kejayaan mengejutkan pilihan utama dari China Chen Fan Shu Tian-Liu Jia Yue 16-21, 21-16, 21-17 di separuh akhir semalam.

Keputusan pada Ahad menyaksikan Zi Yu-Dania mengulangi kejayaan Pearly Tan-Toi Ee Wei yang menjadi naib juara edisi 2018 di Markham, Kanada.

Bercakap selepas perlawanan, Dania, 16, mengakui bahawa mereka menghadapi kesukaran untuk mengejar rentak lawan yang bermain pada tahap yang lebih pantas sepanjang perlawanan.

Walaupun Zi Yu, 14, merasa sedikit sedih kerana tidak dapat membawa kejayaan kepada Malaysia, beliau masih berbangga menjadi pemain termuda beraksi dalam WJC.

Minggu lepas, Malaysia meraih gangsa dalam acara berpasukan campuran setelah tewas kepada tuan rumah, China, dengan keputusan 76-110 di separuh akhir. – Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top