am@hmetro.com.my
Klang: Dua lelaki warga India ditahan polis bersama pelbagai minuman keras tidak bercukai bernilai lebih RM556,000 di sebuah premis di Taman Perindustrian Pandamaran, Pelabuhan Klang, di sini, dalam Op Taring Alpha 2, semalam.
Operasi pada 9.35 malam itu dijalankan Bahagian Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan serta Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Komander WCB/PSK Pasukan Gerakan Am JKDNKA Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi itu dibuat hasil risikan terhadap kegiatan penyimpanan dan pengedaran arak tidak bercukai di kawasan Klang.
“Pemeriksaan lanjut menemui 354 peti dan 142 kotak minuman keras jenis bir pelbagai jenama membabitkan 4,893 liter, selain 25 kotak minuman keras jenis liquor berjumlah 238.55 liter.
“Dua lelaki berkenaan dipercayai penjaga dan pekerja premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya turut merampas sebuah lori serta wang tunai sebanyak RM3,011 dengan nilai keseluruhan sitaan dan rampasan termasuk kompaun dianggarkan RM556,414.87.
Katanya, hasil semakan mendapati kedua suspek itu juga gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri serta dokumen penjualan minuman keras tidak bercukai.
“Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada IPD Klang Selatan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1957 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“MBDK turut mengeluarkan dua notis kompaun berjumlah RM2,000 terhadap kesalahan pelesenan dan iklan mengikut Undang-Undang Kecil MBDK 2007,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





