kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), menurunkan kadar keuntungan skim pembiayaan PROSPER GROW kepada 3.5 peratus setahun bagi membantu mengurangkan tekanan kos operasi dalam kalangan usahawan Bumiputera.
Kadar baharu itu dikurangkan daripada antara 5.0 hingga 6.75 peratus sebelum ini dan berkuat kuasa untuk semua kelulusan pembiayaan bermula 1 Januari 2026, termasuk penerima sedia ada yang diluluskan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, langkah itu dijangka memberi manfaat kepada usahawan yang memerlukan pembiayaan antara RM100,000 hingga RM1 juta bagi mengembangkan perniagaan serta mengekalkan operasi dalam persekitaran ekonomi mencabar.
Katanya, pengurangan kadar keuntungan antara 1.5 hingga 3.25 peratus itu dijangka membantu meningkatkan aliran tunai syarikat, memperkukuh daya tahan kewangan dan memberi ruang kepada pelaburan semula untuk pertumbuhan perniagaan.
“Langkah ini juga mencerminkan pendekatan proaktif PUNB dalam memastikan usahawan Bumiputera terus kekal berdaya saing dan dalam ketidaktentuan ekonomi global, tekanan kos merupakan realiti yang perlu ditangani.
“Penurunan kadar kepada 3.5 peratus bukan sekadar insentif kewangan, malah satu langkah penting untuk memastikan usahawan Bumiputera kekal berdaya tahan, kompetitif dan mampu berkembang secara mampan dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, inisiatif itu juga selari dengan agenda kerajaan untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan Bumiputera yang inklusif dan mampan di bawah kerangka Malaysia MADANI.
Pada masa sama, PUNB turut menyusun semula penawaran pembiayaan menerusi tiga skim utama iaitu PROSPER GROW, PROSPER GREAT dan PROSPER IMPACT/NOVA mengikut tahap pertumbuhan perniagaan.
PROSPER GROW menawarkan pembiayaan sehingga RM1 juta kepada syarikat sendirian berhad dan sehingga RM500,000 bagi entiti milikan tunggal atau perkongsian dalam sektor peruncitan, perdagangan, pengedaran dan pembuatan.
Sementara itu, PROSPER GREAT menyediakan pembiayaan sehingga RM10 juta untuk syarikat Bumiputera berpotensi tinggi dalam sektor strategik seperti teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.
PROSPER IMPACT/NOVA pula menawarkan pembiayaan sehingga RM20 juta bagi menyokong pelaksanaan projek atau kontrak berskala besar termasuk perolehan kerajaan dan kerjasama strategik.
Inisiatif itu juga sebahagian daripada pelaksanaan awal Pelan Strategik Lima Tahun PUNB R30 bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang memberi tumpuan kepada aspek memperkukuh, peningkatan skala dan kemampanan usahawan Bumiputera.
© New Straits Times Press (M) Bhd





