Ubah persepsi agrikomoditi sektor 3D – Ahmad Zahid

Ubah persepsi agrikomoditi sektor 3D – Ahmad Zahid


lokman.khairi@hmetro.com.my

Bangi: Golongan belia termasuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disaran menceburi sektor agrikomoditi yang kini dipacu agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, persepsi sektor agrikomoditi seperti sawit adalah sektor bahaya, kotor dan sukar (3D) mesti diubah kepada kemahiran, kemampanan dan keselamatan (3S) melalui TVET.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, TVET kini bukan lagi pilihan kedua atau ketiga, sebaliknya bakal menjadi pilihan utama golongan muda dalam membina kerjaya masa depan dengan pendapatan lumayan.

“Agrokomoditi adalah sektor moden, bermaruah dan bernilai tinggi. Mereka yang terbabit dalam sektor ini sebenarnya penyumbang utama kepada kemajuan ekonomi negara.

“Negara kita sangat beruntung dikurniakan bumi yang subur dan potensi ini mesti dimanfaatkan sepenuhnya.

“Sebab itu saya mahu anak muda termasuk lepasan SPM menyertai TVET pertanian kerana bidang ini menawarkan gaji melebihi kadar gaji minimum,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Skuad Agrikomoditi di Ibu Pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perladangan dan Komodoti, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Mengulas mengenai Skuad Agrikomoditi, Ahmad Zahid berkata, inisiatif penubuhan skuad sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa itu dilihat mampu menjadi platform penting dalam mendekati anak muda terutama penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) untuk memahami peluang besar dalam sektor berkenaan.

Katanya, skuad berkenaan bukan sekadar membawa mesej, malah akan turun ke setiap kawasan Parlimen bagi mempertingkat maruah golongan terbabit dalam sektor pertanian dan agrikomoditi.

“Saya yakin anak-anak muda di kampus yang selama ini belum terdedah dengan peluang besar dalam bidang ini akan mula melihat potensi sebenar sektor agrikomoditi.

“Skuad ini juga mesti menjadi pemangkin baharu untuk memberitahu rakyat bahawa sektor ini mampu menjana ekonomi negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top