MFL perlu lihat gambaran lebih besar, bukan kepentingan satu kelab sahaja

MFL perlu lihat gambaran lebih besar, bukan kepentingan satu kelab sahaja


LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) digesa untuk melihat gambaran lebih besar dalam memperkasakan landskap bola sepak negara dan bukannya hanya akur kepada kepentingan kelab-kelab tertentu sahaja.

Pemerhati bola sepak tempatan yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid menegaskan, sudah tiba masanya kuota pemain import dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) dikaji semula demi kelangsungan industri sukan itu secara menyeluruh.

Menurutnya, terdapat keperluan mendesak untuk mengecilkan kuota sedia ada bagi memastikan kestabilan kewangan kelab serta memberi ruang kepada bakat tempatan untuk menonjol.

“Kita bersetuju dengan saranan beberapa pihak yang mahu kuota pemain import dikaji semula. Rasionalnya cukup jelas; ia mampu mengurangkan bajet pasukan, memberi ruang kepada bakat tempatan, serta merapatkan jurang antara pasukan ‘gergasi’ dan pasukan ‘kerdil’.

“Selain itu, langkah ini juga mampu meminimumkan risiko pasukan menarik diri daripada liga akibat kekangan kewangan serta mengurangkan masalah tunggakan gaji yang sering menghantui liga kita,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Muzakkir memberikan cadangan bagi membantu pasukan yang bersaing di peringkat Asia tanpa mengabaikan kualiti liga domestik.

Beliau mencadangkan agar pasukan yang bertanding di Liga Juara-Juara Elit Asia (ACLE), Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) dibenarkan mendaftar pemain import tanpa had, namun hanya tiga pemain sahaja dibenarkan beraksi dalam satu-satu masa bagi saingan Liga Super.

“Ini akan memberi ruang kepada anak jati untuk mengintai peluang beraksi dalam kesebelasan utama. Kita perlu ingat, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pernah menetapkan had tiga pemain import dan pernah melarang terus penggunaan import pada 2008.

“Hasilnya, kita melihat kejayaan pasukan kebangsaan merangkul kejuaraan Piala AFF pada 2010 kerana pemain tempatan mendapat minit permainan yang mencukupi di peringkat kelab,” jelasnya.

Tegas beliau lagi, MFL perlu mempunyai iltizam politik yang kuat untuk melakukan perubahan drastik demi kebaikan jangka panjang bola sepak Malaysia.

“MFL tidak perlu akur kepada mana-mana kelab. Kena lihat gambaran lebih besar dan bukan sekadar menjaga kepentingan satu-satu kelab sahaja.

“Bagi mewujudkan liga yang benar-benar kompetitif, semua pasukan harus diberi peluang bermain di atas padang yang sama atau ‘level playing field’,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top