POSITIVISME ialah satu teori yang secara tegas menyatakan undang-undang ialah sesuatu yang diluluskan oleh autoriti mengikut prosedur yang betul. Walaupun undang-undang itu mengetepikan aspek moral, pelaksanaannya tetap sah.
Teori ini efektif untuk mengawal rakyat dalam sesebuah negara. Walau bagaimanapun, dengan mengangkat model positivisme, kita sering terlupa bahawa moral setiap individu itu berbeza-beza.
Barang kali, bagi sesetengah orang, tidur di pedestrian ialah kelakuan yang tidak bermoral. Walau bagaimanapun, bagaimana jika kita telusuri alur sejarahnya. Mungkin insan yang tidur di kaki lima jalan raya itu miskin tegar dan mempunyai depresi. Moralis akan terus sahaja memaki hamun seseorang itu. Sehinggalah mangsa maki menjadi jahat disebabkan oleh label manusia. Dalam teori jenayah, ini disebut sebagai teori label.
Soalnya, apabila perkara yang dikatakan tidak bermoral itu dijadikan undang-undang dan dibuat secara sah, adakah ia cukup adil bagi insan yang tidur di pedestrian tadi? Mungkin salah itu bukan terletak pada dia seorang.
Beban kesalahan boleh jadi kepada didikan ibu bapanya yang tidak memberi ruang belajar atau masyarakat yang kurang arif isu kesihatan mental. Boleh jadi juga salah agensi yang bertanggungjawab untuk memberikannya kebajikan (sekadar contoh).
Kisah ini mengingatkan saya akan watak dalam satu filem, iaitu Joker. Joker menjadi simbol paling kuat untuk menolak undang-undang positivisme. Dia membunuh dalam kereta api akibat mereka mempersendakannya.
Dalam Joker 2, Arthur disabitkan bersalah atas pembunuhan itu. soalnya, adakah hakim dalam Joker benar-benar bermoral? Jika dia bermoral, mustahil tiada keadilan untuk Arthur langsung?
Joker bukan sekadar watak dalam filem, sebaliknya simbol kegagalan teori positivisme dalam undang-undang.
Dari kisah Joker ini, kita perlu faham bahawa teori positivisme dalam undang-undang perlu dikaji semula supaya dapat memuaskan hati ramai pihak.-UTUSAN
MUHAMMAD AMIR HADI MAHRIZAL
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)





