Ipoh: Sepuluh Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD) dipilih di seluruh Perak sebagai langkah memperkasakan masyarakat setempat untuk bergerak lebih proaktif dalam membanteras gejala penyalahgunaan dadah di peringkat akar umbi.
Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perak Mohamad Nor Musa berkata, inisiatif itu dipersetujui menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Daerah pada November tahun lalu, bagi menggalakkan masyarakat membantu memujuk golongan terlibat mendapatkan rawatan secara sukarela.
“Jadi kita nak masyarakat sendiri yang menggerakkan (inisiatif memujuk golongan terbabit), bukan selama ini apabila ada masalah, rujuk kepada aduan sahaja, tetapi sebenarnya masalah ini datang daripada keluarga atau komuniti.
“Kita mengharapkan KABD ini, setiap tahun ditambah lagi 10 (kampung) hingga 2030.
“Kita memang mengharapkan program komuniti itu berjaya kita mendaya upayakan mereka untuk menggerakkan sendiri isu-isu berkaitan dengan membanteras dan juga kesedaran awam di peringkat komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena Program Malam Mesra AADK Negeri Perak Bersama Media 2026, di sini, malam tadi.
Mohamad Nor berkata, pemilihan kampung berkenaan merangkumi satu kawasan bagi setiap daerah berdasarkan kriteria komitmen pemimpin tempatan serta golongan berisiko atau orang yang disyaki (OYDS) di kawasan terbabit.
Beliau berkata, pendekatan KABD turut menekankan aspek kasih sayang dalam membantu penagih dadah yang perlu dilihat sebagai pesakit dan bukannya individu yang perlu dipulau atau dicemuh, sehingga menyebabkan mereka memberontak.
Sementara itu, beliau berkata, seramai 191,832 individu direkodkan terbabit dalam penyalahgunaan dadah di Malaysia setakat 2025 dengan 14,915 kes membabitkan Perak.
Beliau berkata, walaupun jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 6.79 peratus berbanding 2024, keadaan itu masih membimbangkan dan memerlukan tindakan berterusan semua pihak.
Menurut beliau, trend penggunaan dadah sintetik jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS) dalam kalangan individu berusia 15 hingga 39 tahun di Perak membabitkan 5,561 individu, manakala penggunaan pelbagai jenis dadah sintetik lain turut meningkat sebanyak 39.9 peratus berbanding 2023.
“AADK turut memberi perhatian serius terhadap isu pengulangan ataupun penagihan semula yang masih menjadi cabaran utama dalam usaha pemulihan.
“Antara faktor yang menyumbang termasuk pengaruh persekitaran, tekanan hidup, kurang sokongan keluarga, stigma masyarakat serta kegagalan menyesuaikan diri dalam komuniti dan tempat kerja.
“Situasi ini menunjukkan bahawa pendekatan pencegahan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya memerlukan pendekatan lebih menyeluruh membabitkan rawatan, pemulihan, intervensi awal, sokongan psikososial dan juga peluang pekerjaan,” katanya.
Mengulas cabaran semasa, beliau berkata, pihaknya turut bimbang terhadap trend penggunaan rokok elektronik atau vape bercampur bahan terlarang, cecair sintetik dan bahan halusinogen seperti magic mushroom dalam kalangan pelajar sekolah yang dikesan seawal usia 11 tahun.
“Golongan remaja dan pelajar merupakan kumpulan paling berisiko akibat pengaruh rakan sebaya, budaya media sosial serta kurang kesedaran terhadap kandungan sebenar bahan yang digunakan.
“Penyalahgunaan bahan ini boleh menjejaskan prestasi akademik, disiplin, kesihatan mental serta masa depan pelajar sekiranya tidak dibendung lebih awal,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





