Derby: Seorang lelaki yang menyamar sebagai remaja di Snapchat untuk memperdaya 152 kanak-kanak supaya menghantar video dan imej seksual dijatuhi hukuman penjara 25 tahun, lapor Mirror.
Hakim Shaun Smith KC memberitahu perogol bersabit, Siah Riley, 36, adalah ‘mimpi ngeri setiap ibu bapa’ kerana menjadi pesalah paling prolifik sepanjang 46 tahun kerjaya kehakimannya.
Defendan membina profil media sosial palsu dengan menyamar sebagai remaja lelaki dan perempuan untuk memancing mangsa seawal usia sembilan tahun menghantar kandungan seksual kepadanya.
Apabila mangsa enggan menuruti permintaannya, pesalah tegar itu mengugut untuk menyebarkan bahan yang sudah dihantar ke internet melainkan mereka membekalkan lebih banyak video baharu.
Kegiatan keji itu dilakukan Riley dalam tempoh dua tahun lapan bulan bermula 2021 hingga 2023 membabitkan 152 mangsa dengan menyasarkan kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 16 tahun.
Riley dikesan menggunakan dua akaun Snapchat berbeza iaitu ‘Josh King’ untuk menyamar sebagai remaja lelaki dan akaun ‘Kim’ bagi menyamar sebagai remaja perempuan.
Siasatan mendapati pesalah menggunakan satu peranti untuk berbual dengan mangsa manakala peranti lain digunakan untuk merakam setiap kandungan seksual yang dihantar kepadanya secara rahsia.
Semua rakaman berkenaan kemudian dipindahkan ke dalam komputer riba miliknya dan disimpan di dalam fail yang disusun dengan teliti mengikut nama setiap mangsa.
Pihak polis yang merampas peranti miliknya menemukan 1,831 imej mangsa bawah umur yang disimpan Riley untuk tujuan kepuasan seksual dirinya sendiri.
Seorang mangsa berusia 13 tahun dilaporkan diperas ugut dengan ancaman video lucahnya akan dimuat naik ke TikTok, Facebook dan laman web pornografi jika berhenti menghantar video baharu.
Riley juga dikesan tidak mempedulikan rayuan mangsa lain termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang memberitahu usia sebenarnya ketika diperas ugut.
Rekod jenayah lampau Riley menunjukkan dia pernah dipenjara enam tahun setengah atas kesalahan merogol pada 2012, namun dia mengulangi jenayah seksual melalui platform digital.
Selain hukuman penjara 25 tahun dan lesen lanjutan enam tahun, Riley dikenakan perintah pencegahan bahaya seksual seumur hidup serta didaftarkan sebagai pesalah seksual secara kekal.
© New Straits Times Press (M) Bhd






