Seorang bayi lelaki berusia lima bulan maut selepas kereta dinaiki bersama ibu bapanya terbabit kemalangan dengan sebuah lori dipandu lelaki yang didapati positif dadah di Jalan Baru Kulim/Baling/Gerik, dekat simpang Kampung Sadek, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, keluarga terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Pulau Pinang menaiki Perodua Myvi.
Ketua Balai Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, bayi terbabit disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Baling.
Katanya, bapa bayi berusia 27 tahun dan ibunya berusia 41 tahun turut cedera dan sedang menerima rawatan di hospital sama.
Menurut beliau, pemandu lori berusia 43 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan selepas ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah.
“Mayat bayi itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk proses bedah siasat.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000,” katanya dalam laporan Berita Harian.
Brandon berkata, pihak polis turut memperoleh perintah reman selama empat hari bermula hari ini terhadap suspek bagi membantu siasatan lanjut.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kematian bayi itu daripada petugas Hospital Baling pada jam 12.20 tengah malam.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 10.32 malam.
Katanya, mangsa wanita dan bayinya dikeluarkan dulu oleh orang awam, manakala pemandu kereta dikeluarkan dengan bantuan bomba.
“Pasangan suami isteri itu cedera di muka, manakala bayi mereka parah di kepala dan pemandu lori tidak cedera,” katanya.






