Tengku Hassanal tegaskan Pahang perlu diberi pertimbangan saksama, ambil maklum kenyataan Perdana Menteri

Tengku Hassanal tegaskan Pahang perlu diberi pertimbangan saksama, ambil maklum kenyataan Perdana Menteri


KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan meminta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyediakan penjelasan menyeluruh berhubung peruntukan kerajaan Persekutuan kepada Pahang.

Baginda sehubungan itu menegaskan pendirian agar negeri Pahang diberikan layanan serta pertimbangan yang saksama.

“Pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati,” titah baginda dalam kenyataan di sini.

Ketika bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan dan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini, Tengku Hassanal menzahirkan kekecewaan terhadap beberapa keputusan kerajaan Persekutuan yang didakwa tidak memihak kepada hak dan kepentingan negeri ini.

Baginda dilapor bertitah, kerajaan Pusat perlu lebih cakna terhadap hak negeri termasuk dalam soal hasil bumi, pelaksanaan projek serta bidang kuasa perundangan di negeri ini.

Mengulas kekecewaan Tengku Mahkota Pahang, Anwar dilaporkan berkata, Tengku Hassanal akan diberikan penerangan berkaitan kedudukan makroekonomi negara, tekanan ekonomi semasa dan isu pembaziran yang masih berlaku dalam pelbagai sektor. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top