Tiga ahli GISBH mengaku tak bersalah enam pertuduhan pemerdangan orang, amang seksual

Tiga ahli GISBH mengaku tak bersalah enam pertuduhan pemerdangan orang, amang seksual


KOTA TINGGI – Tiga ahli GISG Holdings (GISBH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas enam pertuduhan melakukan pemerdagangan orang dan amang seksual.

Tertuduh, Mahmad Hamal Tukiman, 57, Rabiahtul Adawiyah Md Shash, 31, dan Muhammad Ansarullah Tukino, 20, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

Mengikut kertas pertuduhan, Mahmad Hamal dan Rabiahtul Adawiyah menghadapi empat pertuduhan iaitu memperdagangkan orang yang bukan kanak-kanak terhadap enam individu berusia 30 hingga 57 tahun bagi tujuan ekspoitasi kerja paksa dengan cara ancaman.

Semua perbuatan tersebut didakwa dilakukan bersama-sama tiga suspek lagi yang masih bebas iaitu Afizah Arifin, Mohamad Suhami Mohd Sani dan Norafiratul Abidah Ismail.

Perbuatan ke atas tiga wanita dan seorang lelaki itu adalah bagi maksud eksploitasi kerja paksa dengan cara ancaman di Ikhwan Resort Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar, Pengerang, di sini, antara Ogos 2023 hingga 1 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan jumlah RM50,000 bagi setiap tertuduh untuk setiap pertuduhan, sekiranya mahkamah ingin membenarkan ikat jamin.

Beliau turut mencadangkan syarat tambahan jaminan iaitu dengan dua penjamin, pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, lapor diri di balai polis setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi.

Peguam Fathul Anwar Muin yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon anak guamnya dibenarkan jamin dengan jumlah yang rendah dengan alasan mereka mempunyai tanggungan.

“Mahmad Hamal mempunyai 11 anak dan masih menanggung sembilan daripadanya selain lapan orang cucu. Tertuduh mempunyai dua isteri yang mana isteri kedua sedang hamil lima bulan dan kedua-duanya tidak bekerja.

“Rabiahtul Adawiyah pula mempunyai empat anak dan anak bongsu berusia dua tahun masih menyusu badan. Tertuduh turut menanggung ibunya,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin keseluruhan RM40,000 dengan dua penjamin berserta semua syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

Kes itu kemudian ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 27 November ini.

Sementara itu, seorang pekerja resort berkenaan, Muhammad Ansarullah mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu bagi maksud seksual terhadap lelaki berusia 16 tahun lima bulan dengan cara meraba peha dan kemaluan mangsa di surau Ikhwan Resort itu pukul 10 malam, pada 1 Jun dan 3 Jun lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimun 20 tahun dan boleh dihukum sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh diperintahkan menjalani kaunseling pemulihan, diletakkan di bawah pengawasan polis dan membayar pampasan kepada mangsa, jika sabit kesalahan.

Ahmad Khairuddin turut tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, namun mencadangkan jumlah RM40,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta dua penjamin dengan tiga syarat tambahan.

Peguam Muhammad Zaim Rusli yang mewakili tertuduh memberitahu anak guamnya hanya bersedia dengan RM8,000 untuk ikat jamin yang akan dibayar oleh abangnya.

“Di resort berkenaan, tertuduh ditugaskan untuk menjaga lembu dengan pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan. Bagaimanapun, dia sudah tidak menerima gaji sejak 2023.

“Anak guam saya mengalami sakit tekanan darah rendah dan mengambil ubat-ubatan secara berkala. Dia tinggal bersama keluarga di Parit Besar, Muar dan tiada pasport,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan passport diserahkan kepada mahkamah, lapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 28 November ini. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top